Sunday, December 22, 2013

Misi Bantuan Banjir Pantai Timur – Kemaman 2013

Misi Bantuan Banjir Kemaman ini merupakan misi kedua yang dijalankan setelah proses peninjauan pertama dilakukan pada 6hb Disember oleh NGO Wargakilang Pada kali ini, persiapan barangan telah diaturkan dengan lebih teratur.

Program pengumpulan barangan sumbangan telah dijalankan seminggu lebih awal hasil inisiatif anjuran GKKNK (Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah) dan dengan kerjasama NGO Pembela di SP Plaza, Sungai Petani telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari rakan-rakan serta orang ramai. Antara sumbangan yang diperolehi ialah makanan kering seperti beras, biskut, gula & tepung. Selain itu terdapat juga sumbangan pakaian, lampin bayi serta tilam nipis. Hasil jumlah barangan yang berjaya dikumpulkan ialah sebanyak lori 1 tan serta 1 kenderaan pacuan empat roda.

Kesemua barangan kemudiannya telah ditempatkan di Daging Segar Outlet, Bandar Laguna Merbok, Sg Petani. Di situ, telah berjalan pula program pengumpulan barangan selama seminggu iaitu dari 9 hingga 13hb Disember untuk orang ramai yang berminat memberikan sumbangan.

Pada 11hb Disember, sebahagian barangan yang dikumpulkan telah diserahkan kepada wakil NGO Wargakilang di Padang Serai. Di sana, jumlah hasil sumbangan telah diselaraskan untuk pemberian bantuan kepada kira-kira 200 keluarga mangsa banjir.

Akhirnya, pada Sabtu 14hb Disember 2013, misi bantuan banjir yang diketuai oleh NGO Wargakilang dan disertai oleh Pembela, Artcon Enterprise serta rakan-rakan yang lain ini bergerak ke Kemaman. 
 
Konvoi ini juga disertai oleh rakan-rakan dari sekitar Lembah Klang. Kawasan yang menjadi sasaran bantuan pada kali ini ialah perkampungan di Pasir Gajah dan Seberang Tayor yang terletak dalam daerah Kemaman. Proses pemberian bantuan berjalan dengan lancar dan berlarutan hingga waktu malam. Dianggarkan kira-kira 250 keluarga mangsa banjir telah mendapat sumbangan barangan. 
 
Tahniah dan terima kasih buat semua penyumbang dan yang terlibat!




Disediakan oleh:
SukriKamis / Azhan Jamaludin
Team PEMBELA





Saturday, December 7, 2013

Terjah Banjir – Penyerahan Barang Sumbangan Untuk Mangsa Banjir Pantai Timur

Tarikh: 05 Disember 2013
Lokasi: Padang Serai, Kulim, Kedah

Berikutan keadaan banjir yang semakin meruncing di pantai timur terutamanya di Kemaman pada hari ini (5hb Disember 2013), pihak NGO Pembela telah mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Derma Kilat bagi pembelian barangan keperluan asas.

Sehingga jam 7.00 petang tadi, sejumlah RM1013 telah berjaya dikumpul hasil sumbangan dari ahli Pembela, warga kerja OSRAM termasuklah Geng Meja Panjang OSRAM PEN1, Geng OSRAM Otai serta Rel & FA Crew. Selain itu rakan-rakan dari Penjejak Gunung/ HTU, rakan rakan dari Seram Trekkers Crew (STC) dan lain lain juga turut memberikan sumbangan.

Barangan keperluan yang dibeli ialah hampir 300 buku pelbagai jenis roti buku dan dikumpulkan di Sg Petani. Tepat jam 8.30 malam, konvoi warga Pembela yang berjumlah 16 orang termasuk ahli keluarga dan kanak-kanak telah bertolak ke Padang Serai untuk bertemu dengan wakil Wargakilang.

Majlis penyerahan telah berlangsung dengan selamatnya d Padang Serai pada jam 9.45 malam dan telah diterima sendiri oleh YDP Wargakilang iaitu En. Monier. Selain barangan tersebut, sejumlah kecil wang tunai juga telah diserahkan untuk pembelian barangan keperluan lain.

Beliau dan seorang rakan lagi dijangka akan bertolak pada awal pagi (06hb Disember) dan menuju terus ke Bandar Kemaman. Semoga perjalanan beliau ke sana akan dipermudahkan dan adalah diharapkan pemberian serba-sedikit ini akan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Terima kasih buat semua yang terlibat.
 
 

Wednesday, November 20, 2013

Program Kembara Malam PEMBELA – Edisi Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani

Tarikh: 19 November 2013
Lokasi: Sekitar Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah

Program Kembara Malam pada bulan November ini diteruskan lagi dengan sesi ziarah dan penyerahan sumbangan untuk keluarga daif sekitar kawasan Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani (berhampiran Institut Perguruan Sultan Abdul Halim - IPSAH). Kembara kali ini bermula sekitar jam 9.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam.

Pada kali ini, sebanyak 5 keluarga telah dikenalpasti dengan bantuan Mak Teh (wakil penduduk setempat). Kebanyakan mereka boleh dikategorikan sebagai golongan "miskin bandar". Rombongan kembara turut disertai oleh rakan-rakan dari PWC Sungai Petani Crew.

Penerima pertama yang dilawati ialah Pn. Karimah bt Daud. Beliau yang sedang menghadapi sakit buah pinggang kelihatan uzur dan berkerusi roda. Buat masa ini rawatan untuk buah pinggang dilakukan di Hospital Sg Petani.

Keluarga yang kedua ialah En. Yusof b. Abu Yazid. Anak-anaknya seramai 9 orang menyambut rombongan kembara malam dengan riang. Buat masa ini, beliau tidak mampu lagi untuk bekerja kerana baru menghadapi strok di sebelah kiri tubuh badan.

Pn. Sharifah bt. Ibrahim yang merupakan penerima ketiga dilawati juga sedang menghadapi strok. Ketika dilawati beliau hanya sedang berehat di atas tilam di ruang tamu rumahnya.

Pn. Norizah bt Arshad pula mengalami kemalangan. Dengan tanggungan anak seramai 10 orang (2 perempuan sedang berada di universiti dan 8 lagi masih di rumah) serta suaminya yang mengalami masalah kesihatan, maka agak sukar untuk menyara keluarga.

Keluarga terakhir yang dikunjungi ialah Pn Salina Bt Hamid. Beliau merupakan bekas pesakit barah payu dara dan kaki kirinya juga telah dipotong hingga paras lutut. Beliau kelihatan terharu dengan kunjungan serta sumbangan dari sesi kembara malam pada kali ini. Adalah diharapkan dengan sumbangan barangan keperluan harian ini akan dapat mengurangkan serba-sedikit beban kehidupan harian mereka.

Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat!

Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin / SukriKamis
Team PEMBELA

Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda untuk OKU

Tarikh: 18 November 2013
Lokasi: Bengkel Daya, JKM Sungai Petani, Kedah Darulaman

PEMBELA diberi kepercayaan untuk melakukan penyerahan kerusi roda untuk kegunaan peserta Bengkel Daya, saudara Ahmad Nizam. Kami dari pihak PEMBELA amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk melakukan penyerahan ini. Terima kasih buat yang menyumbang. Moga moga usaha kita semua ini diberkati.

"Saya redha dengan ujian yang Allah berikan kepada saya. Walaupun saya sukar dan susah untuk bergerak, namun hakikatnya ada lagi yang kurang bernasib baik dan lebih susah dari saya di luar sana. Sesungguhnya kita harus berterima kasih dan bersyukurlah dengan apa yang ada" - Ahmad Nizam (penerima sumbangan kerusi roda).

Monday, November 18, 2013

Ziarah Pesakit Pasang Surut (Hernia)

Tarikh: 17 November 2013
Lokasi: Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang

Sessi ziarah ringkas dan pemberian sumbangan kepada seorang rakan yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan penyakit pasang surut.

Encik Sharil, 32 tahun yang hanya bekerja di gerai char kue teow dan bergaji harian. Ada kerja ada gaji, tiada kerja tiada gaji. Mempunyai 3 orang anak (9, 7 & 1 tahun) dan tinggal di rumah sewa yang serba agak kekurangan. Manakala isteri tidak bekerja.

Lantaran dari pembedahan ini, beliau tidak dapat bekerja dan secara tidak langsung terus kehilangan sumber pendapatan secara tiba tiba.

Moga moga dengan sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat meringankan beliau sekeluarga.

Kepada mana mana pihak yang ingin turut sama membantu, boleh menghubungi kami untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Sunday, November 17, 2013

Kembara Malam PEMBELA - Edisi Tanjung Dawai

Tarikh: 16 November 2013
Lokasi: Sekitar Tanjung Dawai, Kedah
 
Pada hari Sabtu (16hb November 2013) lepas, sekali lagi NGO PEMBELA telah mengadakan program Kembara Malam. Program ini menumpukan kepada sesi pemberian sumbangan barangan keperluan harian kepada tujuh warga daif & OKU di sekitar Tanjung Dawai, Kedah. Program yang bermula jam 9.00 malam dan berakhir sekitar jam 10.30 malam.

Rumah pertama yang dikunjungi ialah Pn. Che Yah bt. Rejab yang berusia lebih 80 tahun. Beliau uzur dan lumpuh sebelah badan.

Selepas itu kunjungan diteruskan ke rumah En. Taib b. Nan. Beliau yang telah jatuh sakit hampir 16 bulan berusia kira-kira 78 tahun. Beliau juga menderita sakit lumpuh dan tidak mampu bangun malah sukar untuk bercakap.

Pn. Maryam (ibu tunggal) yang tinggal berdua sahaja dengan anaknya (perempuan – tidak berkahwin) merupakan kediaman ketiga yang dilawati dalam program Kembara Malam ini. Beliau juga menghidap penyakit darah tinggi dan sering melakukan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Merbok. Bergantung hidup sepenuhnya kepada anak perempuan yang tinggal bersamanya.

En. Khalid b. Taha yang dilawati seterusnya masih berada dalam keadaan sihat dan cuma hanya kadang-kala menghidap sakit tua.

Pesakit paling muda yang dilawati ialah En. Suhairi b. Abidin iaitu berusia 31 tahun. Beliau telah mengalami kelumpuhan hampir 3 tahun lebih akibat kemalangan semasa bekerja.

Di rumah seterusnya, Pn. Tahirah bt. Yaacob (ibu tunggal) pula sedang berkerusi roda semasa dilawati. Beliau menderita penyakit kencing manis.

Kembara Malam berakhir dengan kunjungan ke rumah En. Tahar. Beliau yang sedang sibuk menangkap udang di belakang rumahnya kelihatan terkejut dengan kehadiran rombongan ahli PEMBELA serta warga setempat yang ingin menyumbangkan barangan keperluan harian. Beliau serta penerima yang lainya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha pihak PEMBELA, warga kampung serta penyumbang barangan.

Kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan setinggi tinggi ucapan terima kasih buat semua yang terlibat termasuk juga penduduk kampung setempat dan juga para penyumbang yang membantu menjayakan program kali ini. Tahniah semua!

Majlis Asyura Perdana 2013

Tarikh: 16 November 2013
Tempat: Masjid Al-Fathimah, Kg Sg Pial, Merbok, Kedah.

Program gotong royong memasak bubur asyura anjuran Masjid Al-Fathimah Kg Sg Pial. Program yang turut disertai oleh Team PEMBELA di mana sebanyak 8 kawah bubur asyura telah berjaya disediakan. 

Pada program ini juga, pihak PEMBELA telah menyerahkan tudung tudung terpakai pada warga emas sekitar. Tahniah dan syabas buat semua yang terlibat.









Tuesday, September 17, 2013

Projek Komuniti Semeling 2013 - Baikpulih bumbung rumah daif

Tarikh: 07 September 2013
Lokasi: Kg Bukit Inas, Semeling, Kedah

Pada hari Sabtu 7hb Sept yang lepas, satu projek komuniti telah dijalankan oleh pihak NGO Pembela. Projek yang dinamakan Projek Komuniti Semeling 2013 itu bertujuan untuk membaikpulih bumbung rumah seorang warga daif yang tinggal di Kg Bukit Inas, Semeling, Kedah. Selain itu, aktiviti gotong-royong ini juga bertujuaan  menurap jalan masuk dengan batu kerikil dan membersih kawasan sekitar.

Berdasarkan tinjauan sebelum ini, latarbelakang penghuni ialah seorang warga daif bernama Puan Che Munen Abdullah (59 tahun) yang tinggal seorang diri. Beliau tiada sumber pendapatan tetap dan hanya berharap bantuan ehsan jiran-jiran terdekat. Hasil pendapatannya bergantung kepada tanaman kampung seperti kunyit serta serai dan berjumlah hanya sekitar RM10.00 seminggu.

Para sukarelawan telah berkumpul di Restoren Shima, Taman Lembah Bujang (berhadapan MRSM Merbok) seawal jam 8.00 pagi. Setelah selesai bersarapan tepat jam 8.30, mereka bertolak ke lokasi. Keadaan hujan yang berlarutan sejak 2 hari sebelum aktiviti telah menyebabkan jalan masuk ke lokasi dipenuhi air dan selut. Bagaimanapun, dengan bantuan seorang rakan, isu ini dapat diatasi apabila sebuah 'back-hoe' digunakan untuk membawa segala bahan binaan seperti kepingan zink dan kayu ke kediaman Puan Che Munen.

Cuaca yang baik pada hari tersebut telah sama membantu kelancaran aktiviti. Alhamdulillah, pada jam 5.30 petang, semua kepingan zink di bahagian utama kediaman telah berjaya digantikan. Jalan masuk juga semakin bertambah baik apabila 'back-hoe' yang digunakan telah berjaya menurap sebahagian besar jalan dengan baru kerikil. Adalah diharapkan, dengan keadaan rumah dan jalan masuk yang semakin baik, tahap kehidupan Puan Che Munen juga akan bertambah selesa.
 
Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin
Team PEMBELA


 

Ekspedisi Merdekaraya Gunung Jerai 2013 via Sri Perigi

Tarikh: 31 Ogos & 01 September 2013
Lokasi: Gunung Jerai, Kedah

Sempena dengan sambutan hari Kemerdekaan yang jatuh di dalam bulan Syawal pada tahun ini, Pertubuhan Belia Amanah PEMBELA, STC & HTU / Penjejak Gunung telah bersama-sama menganjurkan satu sesi Ekspedisi Merdekaraya Gunung Jerai 2013 via Sri Perigi. selain dari ingin melahirkan golongan belia yang aktif dan cintakan gaya hidup sihat, ekspedisi ini juga ingin mempopularkan trek Sri Perigi sebagai laluan alternatif pendakian ke puncak Gunung Jerai (selain dari Tangga Seribu di Titi Hayun & Trek Jejak Warisan)

Ekspedisi yang berlangsung dari 31hb Ogos hingga 1hb September 2013 (Sabtu & Ahad) itu telah disertai oleh 30 orang peserta. Antara aktiviti utama yang dirancang untuk ekspedisi ini ialah pendakian dan penandaan trek hiking dari Sri Perigi ke Puncak Gunung Jerai, aktiviti santai jamuan BBQ serta berkhemah di puncak Gunung Jerai.

Pendakian trek Sri Perigi telah bermula tepat jam 10.30 pagi serta diketuai oleh jurupandu tempatan Encik Shukur dan Sukri Kamis. Jarak perjalanan keseluruhan adalah 14km dan mengambil masa hampir 7 jam. Para peserta juga dibawa melawat kolam air terjun nombor 1 dan 2. Di Batu Putih, ekspedisi telah berehat untuk makan tengahri dan juga bersolat di situ. Selepas itu, para peserta mendaki terus ke puncak yang terletak berhampiran dengan Hotel Regency Gunung Jerai. Untuk sesi terakhir, para peserta mendaki turun ke arah Taman Rimba sebagai persediaan untuk mendirikan kawasan perkhemahan di situ.

Pada sebelah malamnya, diadakan aktiviti santai serta jamuan BBQ yang disediakan oleh pihak Sinar Utara Agrofarm. Antara juadah yang dihidangkan ialah ayam BBQ, lamb chop & arnab panggang. Ianya dimeriahkan lagi dengan kuih-muih raya yang telah dibawa oleh para peserta. Suasana hujan yang agak lebat pada waktu malam telah menghadkan aktiviti luaran para peserta. Namun kebanyakkannya telah mengambil peluang ini untuk berehat lebih awal untuk aktiviti keesokan harinya.

Aktiviti utama pada pagi kedua ialah sesi bergambar beramai-ramai di Taman Rimba dengan berpakaian menyambut hari raya Aidilfitri. Selepas selesai mengemaskan kelengkapan perkhemahan, para peserta mengambil peluang untuk melawat Muzium Perhutanan yang terletak hanya lebih kurang 1km dari tapak perkhemahan. Kemudiannya, pada jam 10.30 pagi, para peserta turun dengan menaiki van ke tempat letak kereta di Sri Perigi. Sejurus tiba di sana jam 11.30 pagi, semuanya bertolak ke Tanjung Dawai untuk agenda Ekspedisi Merdekaraya Gunung Jerai 2013 via Sri Perigi yang terakhir iaitu menikmati jamuan tengahari ikan bakar di sana.
 
Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin
Team PEMBELA
 



 

Tuesday, August 20, 2013

Kembara Sahur 2013

Tarikh: 04 Ogos 2013
Lokasi: Sekitar Bandar Sungai Petani, Kedah

Sessi amal santai Kembara Sahur 2013 anjuran bersama PEMBELA & GKKnK diadakan sekitar Bandar Sungai Petani. Disertai lebih 100 buah kenderaan dan panjang konvoi mececah 9km. 
 
Acara pelepasan konvoi disempurnakan oleh YB EXCO Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri Kedah. Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat. 
 
Sekalung penghargaan juga buat krew TV9 yang membuat liputan tentang program ini. Syabas semua!

 

Friday, August 2, 2013

Iklan Kerjaya - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempelawa belia dan beliawanis tanahair untuk berkhidmat sebagai anggota TLDM peringkat rendah (Lain-Lain Pangkat) lelaki danwanita di dalam pelbagai bidang kepakaran dan cawangan.  


Peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam - Ogos 2013

Peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam. Permohonan hanya boleh dibuat secara online. 
Sila layari www.spa.gov.my
Tarikh tutup permohonan: 11 Ogos 2013


Tuesday, July 30, 2013

Kembara Emas Ramadhan 1434H / 2013

Tarikh: 27 Julai 2013
Lokasi: Sekitar Kg Selarong Panjang, Kulim, Kedah

Kembara Emas ialah program utama bagi NGO Pembela dalam bulan Ramadhan dan merupakan kesinambungan dari program Kembara Emas yang dijalankan pada tahun-tahun sebelumnya. Program ini bertujuan untuk mengadakan sesi lawatan dan seterusnya menyampaikan sumbangan khusus untuk warga emas yang daif sekitar kawasan setempat. Pada tahun ini, kawasan yang terpilih ialah warga daif sekitar Selarong Panjang, Kulim, Kedah. Dari tinjauan AJK Pembela serta maklumat yang diberikan oleh pihak JKKK, terdapat 7 keluarga yang patut diberikan perhatian.

Hasil dari sumbangan rakan-rakan setempat serta dari Kuala Lumpur, pelbagai barangan keperluan harian seperti makanan serta barangan kegunaan peribadi seperti sabun, berus gigi dll telah dapat dibeli untuk diserahkan kepada warga-warga daif ini.

Aktiviti Kembara Emas Ramadhan 1434H bermula tepat pukul 2.30 petang pada 27hb Jun 2013. Setelah berkumpul di Daging Segar Outlet, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani untuk pemunggahan barangan sumbangan, para peserta yang bertolak dengan 3 buah kenderaan menuju ke check-point pertama di Stesen Petronas Sg Seluang untuk bertemu dengan sebuah lagi kenderaan yang bertindak sebagai penunjuk jalan ke Selarong Panjang, Kulim, Keempat-empat kenderaan kemudiannya tiba di Masjid Qariah Selarong Panjang pada pukul 3.45 petang dan disambut oleh pihak JKKK.

Kediaman pertama yang dilawati ialah milik Puan Jamaliah Che Mad, seorang warga emas yang tinggal bersendirian dan tidak bekerja. Kemudiannya lawatan diteruskan ke rumah berhadapan beliau iaitu En. Murad.

Dari situ rombongan bergerak ke kediaman En. Mat Desa Hassan. Beliau dan isterinya merupakan pengidap penyakit sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Tambah memburukkan lagi keadaan bila pasangan ini tidak bekerja serta tidak mendapat sebarang bantuan. Rumah keempat pula ialah milik En. Omar Bashah, seorang warga emas yang juga tiada pendapatan tetap. En. Mat Isa Mat pula merupakan penerima kelima sumbangan pada tahun ini. Beliau yang tinggal dengan anaknya, tidak mampu lagi bekerja sejak terlibat dalam kemalangan dan juga tidak menerima sebarang bantuan. Berhampiran dengan rumahnya, seorang lagi penerima ialah En. Daus Yunus yang menderita akibat sakit uraf saraf. Hingga kini beliau juga belum menerima sebarang bantuan dari pihak berkaitan.

Konvoi Kembara Emas Ramadhan 1434H diakhiri dengan lawatan ke rumah Puan. Safiah Abdul Rahman yang berusia 87 tahun. Walaupun menghadapi kesukaran dalam penglihatan akibat sakit kencing manis yang dihidapinya, beliau ceria menerima kunjungan dan sangat berterima kasih atas sumbangan dari pihak-pihak yang prihatin.

Program pada tahun ini berakhir kira-kira pukul 5.30 petang dan sebelum bergerak pulang, peserta konvoi sempat menyerahkan sedikit cenderahati kepada pihak JKKK yang sudi menemani lawatan ke setiap rumah. Semoga dengan sumbangan yang serba-sedikit tersebut, dapat meringankan beban para warga emas yang menerimanya.

Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin
Team PEMBELA
 

Tuesday, July 23, 2013

Mini Kembara Malam Ramadhan 1434H - Edisi 1.0

Tarikh: 22 Julai 2013 - 11.00malam
Lokasi: Kg Bukit Inas, Semeling, Kedah

Menziarahi serta memberi sumbangan buat warga emas bertempat di Kg Bukit Inas, Semeling, Kedah. Makcik Che Munen Abdullah - 59 tahun yang tinggal seorang diri. 
Tiada sumber pendapatan tetap dan hanya berharap bantuan ehsan jiran jiran terdekat. Kadang kadang hasil pendapatan bergantung kepada tanaman kampung seperti kunyit, serai dan sebagainya. 
Hasil pendapatan sekali jualan dalam lingkungan RM10.00 seminggu. Moga moga sumbangan yang tak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban Makcik Munen.






Related Posts with Thumbnails