Wednesday, November 20, 2013

Program Kembara Malam PEMBELA – Edisi Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani

Tarikh: 19 November 2013
Lokasi: Sekitar Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah

Program Kembara Malam pada bulan November ini diteruskan lagi dengan sesi ziarah dan penyerahan sumbangan untuk keluarga daif sekitar kawasan Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani (berhampiran Institut Perguruan Sultan Abdul Halim - IPSAH). Kembara kali ini bermula sekitar jam 9.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam.

Pada kali ini, sebanyak 5 keluarga telah dikenalpasti dengan bantuan Mak Teh (wakil penduduk setempat). Kebanyakan mereka boleh dikategorikan sebagai golongan "miskin bandar". Rombongan kembara turut disertai oleh rakan-rakan dari PWC Sungai Petani Crew.

Penerima pertama yang dilawati ialah Pn. Karimah bt Daud. Beliau yang sedang menghadapi sakit buah pinggang kelihatan uzur dan berkerusi roda. Buat masa ini rawatan untuk buah pinggang dilakukan di Hospital Sg Petani.

Keluarga yang kedua ialah En. Yusof b. Abu Yazid. Anak-anaknya seramai 9 orang menyambut rombongan kembara malam dengan riang. Buat masa ini, beliau tidak mampu lagi untuk bekerja kerana baru menghadapi strok di sebelah kiri tubuh badan.

Pn. Sharifah bt. Ibrahim yang merupakan penerima ketiga dilawati juga sedang menghadapi strok. Ketika dilawati beliau hanya sedang berehat di atas tilam di ruang tamu rumahnya.

Pn. Norizah bt Arshad pula mengalami kemalangan. Dengan tanggungan anak seramai 10 orang (2 perempuan sedang berada di universiti dan 8 lagi masih di rumah) serta suaminya yang mengalami masalah kesihatan, maka agak sukar untuk menyara keluarga.

Keluarga terakhir yang dikunjungi ialah Pn Salina Bt Hamid. Beliau merupakan bekas pesakit barah payu dara dan kaki kirinya juga telah dipotong hingga paras lutut. Beliau kelihatan terharu dengan kunjungan serta sumbangan dari sesi kembara malam pada kali ini. Adalah diharapkan dengan sumbangan barangan keperluan harian ini akan dapat mengurangkan serba-sedikit beban kehidupan harian mereka.

Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat!

Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin / SukriKamis
Team PEMBELA

No comments:

Related Posts with Thumbnails