Monday, December 22, 2014

Selamat Tahun Baru 2015

#Kalender #TahunBaru2015


Ziarah Pesakit Kanser Otak Tahap 4

Ziarah Pesakit Kanser Otak Tahap 4
Tarikh: 09 Disember 2014
Lokasi: Kg Teluk Sira, Baling, Kedah

Wakil pihak PEMBELA, Shima Ismail mengadakan sesi ziarah ringkas dan penyampaian sumbangan kepada Puan Norzilawati, 32 tahun yang mengidap kanser otak tahap 4 bertempat di Kg Teluk Sira, Baling, Kedah.

Lantaran penderitaan yang dihadapi, suami beliau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga beliau. Pasangan suami isteri yang mempunyai 2 orang cahaya mata ( perempuan 7 & 3 tahun) turut terpaksa menjaga ibu yang agak uzur (73 tahun).

Mendiami rumah pusaka milik ibu, keluarga terbabit hanya bergantung pendapatan dari JKM sebanyak RM300 sebulan serta terpaksa bekerja sambil sambilan untuk menampung hidup.

Kepada yang berhajat untuk menziarahi atau memberi sumbangan, boleh menghubungi suami beliau secara terus di talian: 019 - 4333904 (Encik Abdullah Bin Husin).

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun bank suami beliau:

1582 5701 5348 - Maybank (Abdullah Bin Husin).

Marilah kita sama sama berdoa agar dipermudahkan segala urusan untuk keluarga terbabit. InshaALLAH.

Tuesday, December 9, 2014

Program Himpunan Sukarelawan Rakan Muda Peringkat Negeri Kedah

Tarikh: 06 Disember 2014
Lokasi: Pantai Prai, Sidam Kiri, Kedah Darulaman

Pihak PEMBELA menyertai Program Himpunan Sukarelawan Rakan Muda Peringkat Negeri Kedah. Untuk program ini, pihak PEMBELA telah diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam slot pemberian sumbangan kepada 15 keluarga terpilih (kategori kurang kemampuan, daif & ibu tunggal) dari rumah ke rumah.

Kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang menyalurkan sumbangan. Terima kasih buat semua yang terlibat.
 






 

Transjerai: Seri Perigi – Taman Rimba – Hotel Regency – Puncak Gunung Jerai – Telaga Tok Syeikh – Puncak Kepala Angin – Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Transjerai: Seri Perigi – Taman Rimba – Hotel Regency – Puncak Gunung Jerai – Telaga Tok Syeikh – Puncak Kepala Angin – Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Tarikh: 29 November 2014
Lokasi: Gunung Jerai, Kedah Darulaman

Pada Sabtu 29hb November lepas, satu aktiviti merentasi Gunung Jerai telah dilaksanakan oleh sekumpulan pendaki seramai 34 orang. Aktiviti yang dianjurkan oleh ahli Penjejak Gunung, saudara Fisol Khalib dan Fikri Abdul Aziz mengumpulkan pendaki yang terdiri daripada beberapa kumpulan dari Kedah dan Pulau Pinang (Penjejak Gunung, PEMBELA, Seram Trekkers Crew, Anak Hutan, Penang Adventure Club) serta sebilangan pelajar USM.
 Aktiviti ini bermula di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok di mana para peserta berkumpul pada pukul 8.00 pagi dan berkongsi kenderaan untuk ke tempat permulaan pendakian iaitu Seri Perigi yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan. Setibanya di Seri Perigi, taklimat ringkas dan sesi memanaskan badan yang diketuai oleh saudara Ali (Penjejak Gunung) telah diadakan. 


Setelah berehat solat serta makan tengahari, kumpulan meneruskan pendakian pada pukul 2.30 petang ke Hotel Regency. Di situ sesi mengambil gambar secara berkumpulan telah dijalankan. Sesampainya Telaga Tok Syeikh pula, bekalan air mineral telah diambil kerana sepanjang perjalanan pulang, tidak akan ada sumber mata air yang akan ditemui.


Kumpulan pertama telah berjaya sampai di Puncak Kepala Angin kira-kira pukul 4.30 petang. Di situ, sekali lagi sesi mengambil gambar dan video secara berkumpulan telah dijalankan. Setelah berehat seketika menikmati pemandangan, kumpulan telah bergerak bermula pukul 5.30 petang menuju destinasi terakhir. Kumpulan pertama berjaya tiba di Muzium Arkeologi pada pukul 8.00 malam manakala kumpulan terakhir telah tiba sekitar pukul 10.30 malam akibat dari kecederaan yang menimpa seorang ahli kumpulan. 


Syukur kerana semua ahli kumpulan berjaya menamatkan pendakian sepanjang 21km ini dan cuaca yang sangat baik sepanjang aktiviti telah banyak membantu dan melancarkan pergerakan serta perjalanan.


Sunday, November 23, 2014

JJMK NGO Wargakilang - Bukit Lamu, Baling, Kedah

Tarikh: 22 November 2014
Lokasi: Bukit Lamu, Baling, Kedah Darulaman

Menyertai program NGO Wargakilang JJMK Bukit Lamu, Baling, Kedah. Program yang berakhir sekitar jam 11.30 malam dalam keadaan hujan menyaksikan  sebanyak 60 keluarga kebanyakan dari golongan penoreh getah orang menerima sumbangan berbentuk barangan harian dan sebagainya.

Tahniah buat semua yang terlibat dan terima kasih buat semua yang tak putus putus menghulurkan sumbangan. 


Ziarah Kampung Permai II – Sungai Petani, Kedah

Ziarah Kampung Permai II – Sungai Petani, Kedah
Tarikh: 15 November 2014
Lokasi: Kg Permai II, Sungai Petani, Kedah

Sesi ziarah ringkas dan penyampaian sumbangan harian kepada keluarga daif sekitar kawasan Kg Permai II, Sungai Petani, Kedah. Sebanyak 4 keluarga daif telah diziarahi pada sesi lawatan kali ini. 
 
Terima kasih buat semua yang mengirim serta sudi menyumbang untuk diserahkan kepada keluarga terbabit. Terima kasih banyak banyak

Aktiviti Pantai Merdeka – Yang Penting Kerjasama (Program Motivasi & Perkhemahan Bersama Anak Yatim)

 
Tarikh: 14 & 15 November 2014
Lokasi: Pantai Merdeka, Kedah Darulaman

Pada Jumaat 14hb November 2014 yang lepas, satu program perkhemahan untuk penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda (Rumah Anak Yatim Che Bema) telah dijalankan dengan jayanya. Program yang bertempat di Pantai Merdeka itu mengambil masa selama 2 hari 1 malam dan melibatkan hampir 30 orang anak yatim.

Program ini merupakan hasil dari idea para usahawan 1MET FAMA yang diketuai oleh En. Syahrul dan En. Zafri yang ingin menjalankan khidmat sosial kepada masyarakat setempat. Ianya juga melibatkan PEMBELA selaku NGO yang aktif menjalankan aktiviti melibatkan golongan belia di sekitar daerah Kuala Muda.

Aktiviti dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pemunggahan barangan masakan untuk aktiviti perkhemahan di Daging Segar Outlet. Para penghuni rumah anak yatim pula dibawa ke Pantai Merdeka dengan van serta kenderaan para usahawan 1MET FAMA serta PEMBELA.

Sebaik sahaja sampai di Pantai Merdeka, taklimat serta pembahagian kumpulan telah dilaksanakan oleh pihak fasilitator yang diketuai oleh En. Syahrul dan En. Zafri serta dibantu oleh bebrapa pelajar UiTM Merbok. Aktiviti pertama yang dijalankan ialah aktiviti memasak dalam kumpulan. Peserta perkhemahan dilatih untuk menyediakan masakan tengahari sendiri sebagai satu langkah meningkatkan tahap kendiri masing-masing.

Pada petangnya pula, para peserta diajar bagaimana mendirikan khemah oleh para fasilitator. Selepas itu, aktiviti bebas dijalankan dengan para peserta mengambil peluang untuk mandi pantai sambil diawasi oleh para fasilitator. Petang itu juga menyaksikan kehadiran Dato Tajul Urus Mat Zain (Exco Kerajaan Negeri Kedah) yang sempat singgah dan memberi sepatah dua kata kepada kesemua peserta program.

Selepas solat maghrib berjemaah, tazkirah ringkas telah diberikan oleh Ustaz Nasir dari PEMBELA dan diikuti oleh solat Isyak berjemaah. Acara kemuncak pada waktu malamnya ialah jamuan BBQ iaitu kambing golek yang diuruskan oleh pihak Sinar Utara Agrofarm. Jamuan ini ditaja oleh pihak NGO PEMBELA serta pihak Majlis Belia Daerah Kuala Muda. Selepas jamuan BBQ, diadakan pula aktiviti ringkas kumpulan untuk memupuk semangat kerjasama para peserta. Aktiviti ini telah diselia oleh pihak PEMBELA. Tepat jam 11.30 malam, para peserta masuk tidur di khemah masing-masing.

Aktiviti pagi kedua dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan diikuti oleh sarapan pagi berupa nasi goreng, roti, sosej, baked beans serta scrambled eggs yang disediakan oleh NGO PEMBELA.

Para peserta kemudiannya mengambil bahagian dalam aktiviti treasure hunt dan beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK). Kemudiannya aktiviti santai telah dijalankan iaitu ’menconteng muka’ dengan para fasilitator juga mengambil bahagian.

Para peserta kemudiannya mengambil bahagian dalam aktiviti treasure hunt dan beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK). Kemudiannya aktiviti santai telah dijalankan iaitu ’menconteng muka’ dengan para fasilitator juga mengambil bahagian.

Sementara menunggu jamuan tengahari, para peserta telah mengemaskan kelengkapan masing-masing serta membantu membasuh peralatan memasak yang disediakan.

Selepas jamuan, diadakan majlis penutup serta penyampaian hadiah kepada kumpulan yang telah berjaya mengumpul markah yang paling tinggi.

Dalam ucapan penutup, pengerusi PEMBELA iaitu En. SukriKamis melahirkan kesyukuran kerana aktiviti ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak usahawan 1MET FAMA atas peluang yang diberikan untuk menjadi penganjur bersama bagi program ini. Program berakhir tepat pukul 1.30 tengahari dengan para peserta dihantar pulang kembali ke Rumah Anak Yatim Che Bema.

Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai sasaran serta objektifnya dan kami dari pihak PEMBELA ingin merakam ucapan terima kasih buat semua yang menaja serta memberi sokongan dalam menjayakan program ini.

Tahniah buat semua yang terlibat.

- Team PEMBELA
- Usahawan 1MET-FAMA
- Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kuala Muda (Rumah Anak Yatim Che Bema)
- Majlis Belia Daerah Kuala Muda
- Sinar Utara Agrofarm
- Nazza Trading & Services
- Daging Segar Outlet
- SUArasa
- Rakan rakan serta kenalan rapat

Sunday, November 16, 2014

JJMK: Kg Charok Beras anjuran NGO Wargakilang

JJMK: Kg Charok Beras anjuran NGO Wargakilang
Tarikh: 12 Nov 2014
Lokasi: Kg Charok Beras, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Mengikuti program anjuran NGO Wargakilang, JJMK: Kg Charok Beras, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Program berbentuk ziarah dan penyampaian sumbangan kepada 30 keluarga penoreh gerah. Antara sumbangan yang disalurkan adalah 900kg beras beserta barangan makanan lain.

Konvoi yang disertai oleh 12 buah kenderaan bergerak dari Kuala Ketil sekitar jam 9.30 malam dan tiba di destinasi sekitar jam 10.15pm. Seterusnya diadakan acara penyampaian sumbangan yang berakhir sejam kemudian.

Kami di pihak PEMBELA mengucapkan terima kasih kepada NGO Wargakilang kerana memberi peluang untuk mengikuti program ini. Tidak lupa juga buat semua yang mengirim sumbangan. Moga moga kerja kerja buat kita ini diberkati dan dilimpahi rahmat.

Tahniah buat semua yang terlibat.

 

Monday, November 10, 2014

Sesi Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Koma (Ibu Tunggal)

Sesi Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Koma (Ibu Tunggal)
Tarikh: 10 November 2014
Lokasi: Kampung Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang

Sesi ziarah dan penyampaian sumbangan kepada mangsa koma, Puan Yana (36 tahun) yang terlibat dalam kemalangan jalanraya pada 05 Oct 2014 yang lalu.

Beliau yang juga merupakan ibu tunggal mempunyai dua orang anak lelaki berusia 15 & 13 tahun. Kini beliau dijaga oleh ibu beliau yang uzur yang terpaksa menampung kos perbelanjaan yang berjumlah lebih kurang RM1000 sebulan (perubatan, susu, lampin pakai buang serta perbelanjaan lain termasuk makan minum dan persekolahan anak anak).

Pada sesi ziarah ini, pihak PEMBELA telah menyerahkan sumbangan berbentuk tunai, lampin pakai buang serta makanan harian.

Kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang menghulurkan sumbangan termasuklah pekerja Osram Opto Semiconductors Penang, pekerja Keysight Technologies Penang, Sinar Utara Agrofarm, rakan rakan pendaki dari Penjejak Gunung, Seram Trekkers Crew dan juga kenalan kenalan rapat.

Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh Puan Yana sekeluarga. Di kesempatan ini juga, marilah kita sama sama berdoa agar Puan Yana cepat sembuh dan pulih seperti sediakala. InshaALLAH.
 






Wednesday, October 8, 2014

Ziarah Susulan Bayi Istimewa

Tarikh: 01 Oktober 2014
Lokasi: Kg Permatang Tok Gelam, Penaga, Pulau Pinang
 
Pihak PEMBELA bersama rakan rakan mengadakan ziarah susulan bayi istimewa, adik Siti Hajar Bt Azman (11 bulan) bertempat di Kg Permatang Tok Gelam, Penaga, Pulau Pinang.

Pada sesi ziarah kali ini, pihak PEMBELA telah menyampaikan sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui PEMBELA, GKKnK - Gabungan Kelab Kereta negeri Kedah (GKKnK) serta Kulim Car Club Community (K3C).

Terima kasih buat semua yang menyumbang. Moga moga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga terbabit.

Monday, September 29, 2014

Gotong Royong CR Day Maybank Zon Kedah / Perlis 2014

Tarikh: 27 September 2014
Lokasi: Kg Keda Sungai Udang, Yan, Kedah

Pihak PEMBELA mengambil bahagian dalam program CR Day Maybank Zon Kedah / Perlis 2014 bertempat di Kg Keda Sungai Udang, Yan, Kedah.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah gotong royong membersih kawasan, mengecat Tadika KEMAS, pertandingan futsal dan lain lain.

Tahniah buat semua yang terlibat.

Friday, September 19, 2014

JJMK: Hari Malaysia – Anjuran NGO Wargakilang


JJMK: Hari Malaysia – Anjuran NGO Wargakilang

Tarikh: 16 September 2014
Lokasi: Sekitar kawasan Selama, Perak Darul Ridzuan

Mengikuti program amal 'Jalan Jalan Masuk Kampung: Hari Malaysia' anjuran NGO wargakilang.

Destinasi kali ini adalah sekitar kawasan Selama, Perak. Sebanyak 22 keluarga termasuklah kategori miskin, daif, warga emas, ibu tunggal telah dilawati dalam sesi program kali ini.

Antara tempat yang dilawati, Kg Ulu Mengkuang (7 penerima), Kg Bukit Torak (4 penerima), Kg Ulu Damak (4 penerima), Kg Anak Sg Rambutan (4 penerima), Kg Tg Lengkong - Rumah Buluh (2 penerima).

Pihak PEMBELA mengucapkan terima kasih buat semua yang mengirim sumbangan. Dan sekalung penghargaan buat Team Wargakilang kerana memberi peluang kepada Team PEMBELA untuk mengikuti program ini.

Terima kasih buat semua yang terlibat.

Sunday, September 14, 2014

Sesi Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Untuk Bayi Istimewa

 Sesi Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Untuk Bayi Istimewa
Tarikh: 13 September 2014
Lokasi: Kampung Permatang Tok Gelam, Penaga, Pulau Pinang

Pihak PEMBELA berkesempatan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada bayi istimewa, Siti Hajar Bt Azman (11 bulan). Kedatangan kami disambut oleh ibu bayi, Zuraini Bt Mahmud.

Puan Zuraini yang hanya bekerja kilang serta suami Encik Azman hanya bekerja kampung. Mendiami rumah sewa serta mempunyai dua orang anak lagi yang masih bersekolah rendah.

Kepada yang berhajat untuk menziarahi atau menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Puan Zuraini secara terus di talian 019 - 5615699.

Alamat: 546 Kampung Permatang Tok Gelam, 13100 Penaga, Pulau Pinang.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui bank:
157063814401 - Maybank



Thursday, August 14, 2014

Ziarah Ringkas Kg KEDA, Che Bema, Sungai Petani, Kedah

Tarikh: 09 Ogos 2014
Lokasi: Kg KEDA, Che Bema, Sungai Petani, Kedah

Sesi ziarah ringkas dan pemberian sumbangan kepada keluarga daif & miskin, Puan Latifah bertempat di Kg KEDA Che Bema, Sungai Petani, Kedah. Terima kasih buat yang mengirim dan memberi sumbangan.


Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Untuk Persatuan Belia

Tarikh: 07 Ogos 2014
Lokasi: Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Alor Setar, Kedah


Menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Pertubuhan / Persatuan Belia Negeri Kedah bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah.


Monday, August 4, 2014

Penyerahan Sumbangan Untuk GAZA

Sumbangan kepada GAZA
Tarikh: 03 Ogos 2014
Lokasi: Central Square, Sungai Petani, Kedah

Penyerahan sumbangan untuk GAZA bersempena Program Jelajah Kemanusiaan GAZA anjuran MAPIM bertempat di Central Square, Sungai Petani, Kedah.

Sumbangan adalah hasil tabung kilat yang dilancarkan semasa Program Jelajah Sahur GKKnK - Gabungan Kelab Kereta negeri Kedah pada Ramadhan yang lalu. Turut memberi sumbangan adalah rakan rakan PEMBELA.

Sumbangan diserahkan kepada wakil MAPIM, Cikgu Azmi dan disempurnakan oleh wakil PEMBELA, saudara Mohd Nazrulnizam & saudara Fairul Nizam.

Terima kasih buat semua yang menyumbang.



Wednesday, July 23, 2014

Ziarah Ringkas Ramadhan – Permatang Damar Laut, Pulau Pinang

Ziarah Ringkas Ramadhan – Permatang Damar Laut, Pulau Pinang

Tarikh: 22 Julai 2014
Lokasi: Permatang Damar Laut, Pulau Pinang

Sesi ziarah dan penyampaian sumbangan kepada keluarga pesakit kronik di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang.

Encik Mohamad Rozi Ismail, 37 tahun terlantar menderita sakit dan tidak berupaya untuk bergerak dan bercakap malah terpaksa bergantung kepada saluran tiub untuk makan dan membuang air besar, kecil dan sebagainya.

Menderita sakit sejak hampir 2 tahun yang lepas akibat komplikasi yang bermula hanya dari kesakitan dalam perut.

Lantaran penyakit beliau, isteri beliau Puan Azriatul Akmal, 35 tahun terpaksa berhenti kerja dan menumpu sepenuh perhatian untuk menjaga beliau.

Kini beliau sekeluarga bergantung kepada bantuan Socso, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Zakat. Walaupun mendapat bantuan, namun terpaksa bertungkus lumus untuk menyara kehidupan, perbelanjaan harian, perbelanjaan ubat ubatan serta anak anak seramai 3 orang yang masih bersekolah rendah.

Kepada yang berhajat untuk menziarahi atau membantu, boleh menghubungi Puan Azriatul secara terus di talian 017 - 4326456.

Antara barangan sumbangan yang amat diperlukan adalah susu seperti dalam gambar. Harga pasaran satu tin: RM67.00 ~ RM70.00. Jumlah kegunaan sebulan: 12 tin.

Pada sesi ziarah kali ini, pihak PEMBELA juga berpeluang menyampaikan sumbangan berbentuk barangan harian dan juga sejumlah wang tunai.

Terima kasih buat semua yang menyumbang. 
 

Ziarah Ringkas Ramadhan - Ibu Tunggal Anak 3 (Kg Batu Hampar, Merbok, Kedah)

Ziarah Ringkas Ramadhan - Ibu Tunggal Anak 3 (Kg Batu Hampar, Merbok, Kedah)

Tarikh: 22 Julai 2014
Lokasi: Kg Batu Hampar, Merbok, Kedah

Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan yang dikirim khas untuk Puan Fitriah Bt Abdul Latif, ibu tunggal beranak 3. Anak anak beliau masih bersekolah rendah. Beliau yang tinggal di rumah bantuan ehsan kerajaan hanya bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah turut menyara seorang bapa saudara yang berusia 68 tahun.

Sumbangan disempurnakan oleh wakil PEMBELA, Miss XXX (nama dirahsiakan...hehhe)

Terima kasih buat sahabat yang mengirim sumbangan .

Tuesday, July 22, 2014

Ziarah Ringkas Ramadhan - Ibu Tunggal Anak 5 (Bukit Jambul Indah, Penang)

Ziarah Ringkas Ramadhan - Ibu Tunggal Anak 5 (Bukit Jambul Indah, Penang)

Tarikh: 21 Julai 2014
Lokasi: Taman Bukit Jambul Indah, Pulau Pinang

Sesi penyerahan barangan dan sumbangan yang dikirim khas oleh sahabat sahabat PEMBELA untuk Puan Lin, ibu tunggal anak 5. Ini adalah sesi ziarah kali ke-3 oleh pihak PEMBELA. Puan Lin ternyata gembira dengan kehadiran kami. Antara perkara yang menarik perhatian tentang ziarah kali ini, rumah Puan Lin telah mempunyai sofa. Bila ditanya mana dapat sofa tu, Puan Lin menjawab Allah yang hantar (yang sebenarnya sofa itu dikutip di tepi tong sampah oleh anak anak beliau). Tersenyum kami tak terkata apa apa :)

Apa apa pun, kami dari pihak PEMBELA mengucapkan terima kasih kepada sahabat sahahat yang menyumbang dan sumbangan tersebut telah pun selamat diserahkan kepada Puan Lin. InshaALLAH moga moga usaha kita ini diberkati Allah.
 

 

Ziarah Ringkas Ramadhan - Edisi Kulim

Ziarah Ringkas Ramadhan - Edisi Kulim

Tarikh: 21 Julai 2014
Lokasi: Kg Sg Ular & Kg Tungku Putra Kilang Lama, Kulim, Kedah Darulaman

Sesi ziarah ringkas dan pemberian sumbangan kepada yang memerlukan.

Penerima pertama: Jamilah Bt Man, 49 tahun (Status OKU) yang mempunyai 4 orang anak dan daripadanya masih bersekolah. Turut menyara ayah yang berumur 78 tahun.

Penerima kedua: Harun bin Junus, 92 tahun yang baru kematian anak dan sekarang tinggal seorang diri.

Penerima ketiga: Mahawi Bt Ahmad, 60 tahun tinggal seorang diri. Menyara kehidupan dengan mengutip dan menjual barang barang terbuang.

Terima kasih buat sahabat sahabat yang menyumbang. Sumbangan disempurnakan oleh wakil PEMBELA, Shima Ismail.
 

Monday, July 21, 2014

Ziarah Ramadhan – Edisi Kg Simpor Tambang, Kota Kuala Muda, Kedah Darulaman

Ziarah Ramadhan – Edisi Kg Simpor Tambang
Tarikh: 20 Julai 2014 
Lokasi: Kampung Simpor Tambang, Kota Kuala Muda, Kedah Darulaman 

Sesi ziarah dan agihan beras kepada 70 penerima Kampung Simpor Tambang, Kota Kuala Muda, Kedah Darulaman. 

Sesi ini juga menyaksikan 5 keluarga daif & miskin serta warga emas menerima sumbangan khas dan sumbangan tambahan berbentuk barangan harian dan juga sumbangan tunai. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu dan meringankan beban kepada keluarga yang terbabit.

Kami dari pihak PEMBELA mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sahabat sahabat yang prihatin dan sudi memberi sumbangan. 

Terima kasih buat semua pihak yang terlibat.

 

Program Jelajah Sahur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah


Jelajah Sahur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah

Tarikh: 18 Julai 2014
Lokasi: Sekitar Kuala Ketil, Bukit Selambau & Sungai Petani

Menyertai Program Jelajah Sahur JPJ Kedah bersama YB Exco Pengangkutan Negeri Kedah. Program bermula sekitar 12 tengahmalam disertai oleh hampir 20 buah kenderaan.

Antara agensi dan NGO yang terlibat termasuklah dari PEMBELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani, MPKSM (Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia) dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sungai Petani.

Program ini menyaksikan sebanyak 8 lokasi telah disinggahi termasuklah Stesen Timbang JPJ Kuala Ketil, beberapa kediaman di kawasan Bukit Selambau dan berakhir di Sungai Petani.

Selain dari juadah bersahur, pemberian barangan harian juga diserahkan kepada keluarga yang daif & miskin sepanjang sesi program ini.

Terima kasih buat semua penaja & penyumbang. Tahniah buat semua yang terlibat.


Related Posts with Thumbnails