Sunday, November 23, 2014

Aktiviti Pantai Merdeka – Yang Penting Kerjasama (Program Motivasi & Perkhemahan Bersama Anak Yatim)

 
Tarikh: 14 & 15 November 2014
Lokasi: Pantai Merdeka, Kedah Darulaman

Pada Jumaat 14hb November 2014 yang lepas, satu program perkhemahan untuk penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda (Rumah Anak Yatim Che Bema) telah dijalankan dengan jayanya. Program yang bertempat di Pantai Merdeka itu mengambil masa selama 2 hari 1 malam dan melibatkan hampir 30 orang anak yatim.

Program ini merupakan hasil dari idea para usahawan 1MET FAMA yang diketuai oleh En. Syahrul dan En. Zafri yang ingin menjalankan khidmat sosial kepada masyarakat setempat. Ianya juga melibatkan PEMBELA selaku NGO yang aktif menjalankan aktiviti melibatkan golongan belia di sekitar daerah Kuala Muda.

Aktiviti dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pemunggahan barangan masakan untuk aktiviti perkhemahan di Daging Segar Outlet. Para penghuni rumah anak yatim pula dibawa ke Pantai Merdeka dengan van serta kenderaan para usahawan 1MET FAMA serta PEMBELA.

Sebaik sahaja sampai di Pantai Merdeka, taklimat serta pembahagian kumpulan telah dilaksanakan oleh pihak fasilitator yang diketuai oleh En. Syahrul dan En. Zafri serta dibantu oleh bebrapa pelajar UiTM Merbok. Aktiviti pertama yang dijalankan ialah aktiviti memasak dalam kumpulan. Peserta perkhemahan dilatih untuk menyediakan masakan tengahari sendiri sebagai satu langkah meningkatkan tahap kendiri masing-masing.

Pada petangnya pula, para peserta diajar bagaimana mendirikan khemah oleh para fasilitator. Selepas itu, aktiviti bebas dijalankan dengan para peserta mengambil peluang untuk mandi pantai sambil diawasi oleh para fasilitator. Petang itu juga menyaksikan kehadiran Dato Tajul Urus Mat Zain (Exco Kerajaan Negeri Kedah) yang sempat singgah dan memberi sepatah dua kata kepada kesemua peserta program.

Selepas solat maghrib berjemaah, tazkirah ringkas telah diberikan oleh Ustaz Nasir dari PEMBELA dan diikuti oleh solat Isyak berjemaah. Acara kemuncak pada waktu malamnya ialah jamuan BBQ iaitu kambing golek yang diuruskan oleh pihak Sinar Utara Agrofarm. Jamuan ini ditaja oleh pihak NGO PEMBELA serta pihak Majlis Belia Daerah Kuala Muda. Selepas jamuan BBQ, diadakan pula aktiviti ringkas kumpulan untuk memupuk semangat kerjasama para peserta. Aktiviti ini telah diselia oleh pihak PEMBELA. Tepat jam 11.30 malam, para peserta masuk tidur di khemah masing-masing.

Aktiviti pagi kedua dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan diikuti oleh sarapan pagi berupa nasi goreng, roti, sosej, baked beans serta scrambled eggs yang disediakan oleh NGO PEMBELA.

Para peserta kemudiannya mengambil bahagian dalam aktiviti treasure hunt dan beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK). Kemudiannya aktiviti santai telah dijalankan iaitu ’menconteng muka’ dengan para fasilitator juga mengambil bahagian.

Para peserta kemudiannya mengambil bahagian dalam aktiviti treasure hunt dan beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK). Kemudiannya aktiviti santai telah dijalankan iaitu ’menconteng muka’ dengan para fasilitator juga mengambil bahagian.

Sementara menunggu jamuan tengahari, para peserta telah mengemaskan kelengkapan masing-masing serta membantu membasuh peralatan memasak yang disediakan.

Selepas jamuan, diadakan majlis penutup serta penyampaian hadiah kepada kumpulan yang telah berjaya mengumpul markah yang paling tinggi.

Dalam ucapan penutup, pengerusi PEMBELA iaitu En. SukriKamis melahirkan kesyukuran kerana aktiviti ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak usahawan 1MET FAMA atas peluang yang diberikan untuk menjadi penganjur bersama bagi program ini. Program berakhir tepat pukul 1.30 tengahari dengan para peserta dihantar pulang kembali ke Rumah Anak Yatim Che Bema.

Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai sasaran serta objektifnya dan kami dari pihak PEMBELA ingin merakam ucapan terima kasih buat semua yang menaja serta memberi sokongan dalam menjayakan program ini.

Tahniah buat semua yang terlibat.

- Team PEMBELA
- Usahawan 1MET-FAMA
- Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kuala Muda (Rumah Anak Yatim Che Bema)
- Majlis Belia Daerah Kuala Muda
- Sinar Utara Agrofarm
- Nazza Trading & Services
- Daging Segar Outlet
- SUArasa
- Rakan rakan serta kenalan rapat

No comments:

Related Posts with Thumbnails