Friday, December 9, 2011

Penutupan jalan sempena "Hari Tanpa Kenderaan Bermotor Pulau Pinang"


GEORGE TOWN: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan menutup beberapa batang jalan di sekitar bandar raya ini bagi menjayakan 'Hari Tanpa Kenderaan Bermotor' pada Ahad ini.

Bahagian Perhubungan Awam MPPP dalam satu kenyataan, berkata jalan-jalan yang ditutup ialah Lebuh Pantai, Lebuh Bishop, Lebuh Gereja dan Gat Lebuh Gereja.

"Jalan yang terlibat akan ditutup mulai pukul 7 pagi hingga 5 petang," kata kenyataan itu.

MPPP akan meletakkan papan tanda lalu lintas dan arahan lencongan di jalan terbabit bagi memudahkan orang ramai.

MPPP juga menyediakan 1,055 petak letak kereta bertingkat secara percuma di Lebuh Victoria, Lebuh Union dan tempat letak kereta di Lebuh Light serta Lebuh Downing pada hari berkenaan.

Selain itu, terdapat 975 petak letak kereta percuma di sekitar jalan-jalan terbabit.

"Laluan yang terlibat dengan hari tanpa kenderaan bermotor itu akan ditutup setiap hari Ahad sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak," kata kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Related Posts with Thumbnails