Friday, April 4, 2014

Ekspedisi Gunung Perlis 2014

Tarikh: 08 Mac 2014
Lokasi: Gunung Perlis, Perlis

Pada Sabtu 8h Mac 2014 lepas, PEMBELA bersama Seram Trekkers Crew (STC), Team Penjejak Gunung, Hikers Trekkers United (HTU) telah mengadakan aktiviti mendaki Gunung Perlis setinggi 733 meter (a.p.l) yang terletak di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian. Tujuan utama ekspedisi ini ialah mendaki ke titik paling utara di Semenanjung Malaysia yang menempatkan batu sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Seramai 17 orang pendaki dari negeri Pulau Pinang dan Kedah telah menyertai aktiviti ini dengan kebanyakannya mempunyai pengalaman mendaki gunung-ganang di Malaysia. Anggota ekspedisi telah bertolak dari Hentian R&R Gurun pada pukul 8.45 pagi dan sampai di Taman Negeri pada pukul 10.45 pagi. Di situ, kedatangan telah disambut oleh En. Fikri selaku Pegawai Pejabat Perhutanan Negeri Perlis . Beliau juga telah memberikan taklimat ringkas tentang sejarah penubuhan taman negeri serta jenis-jenis flora dan fauna yang terdapat di situ. Antara yang paling istimewa ialah pokok Bogak yang boleh hidup hingga jutaan tahun.

Pendakian telah bermula sekitar pukul 11.30 pagi dengan diketuai oleh penunjuk jalan Taman Negeri Perlis iaitu En. Amy. Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 8km, pelbagai pemandangan menarik ditemui seperti aliran air anak sungai, pokok besar dll. Tepat pukul 3.00 petang, anggota ekspedisi selamat sampai ke puncak Gunung Perlis. Selain mengambil peluang bergambar dengan batu yang menjadi tanda sempadan antara Malaysia dan Thailand, para peserta juga telah menikmati hidangan makan tengahari yang dibawa bersama sebagai bekal.

Perjalanan turun yang melalui trek berbeza hanya sepanjang 5km tetapi ianya lebih curam dan perlu melalui anak-anak tangga. Anggota ekspedisi telah mengambil masa hampir 2 jam iaitu dari pukul 3.30 petang dan turun semula ke kawasan meletak kereta sekitar pukul 5.30 petang.

Tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Perlis!





Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin / SukriKamis
Team PEMBELA

No comments:

Related Posts with Thumbnails