Sunday, October 11, 2009

Jambatan Ke-2 Pulau Pinang - Pembinaan Ikut Jadual

NIBONG TEBAL 10 Okt. - Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang kini sudah mencapai kemajuan sebanyak tujuh peratus dan dijangka siap mengikut jadual menjelang April 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, dua daripada tiga pakej pembinaan projek itu sedang rancak dijalankan oleh syarikat UEM Builders Bhd. dan China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit kelewatan pada peringkat awal, pihaknya yakin kerja-kerja pembinaan jambatan akan dapat disiapkan mengikut tempoh yang dirancang.

"Setakat ini, kita berpuas hati dengan perjalanan projek yang dilaksanakan secara profesional oleh kedua-dua syarikat itu. Dua fasa pembinaan projek sudah pun dimulakan.

"Mungkin ada lewat sedikit pada peringkat awal tetapi selepas beberapa siri kajian dibuat, maka didapati lebih praktikal sasaran projek ini disiapkan sebelum April tahun 2013," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan itu di Batu Kawan di sini hari ini.

Nor Mohamed turut mendengar taklimat serta meninjau penyediaan logistik bahan binaan projek itu yang terletak kira-kira empat kilometer dari Batu Kawan.

Beliau berkata, kemajuan tujuh peratus projek berkenaan merangkumi fasa keseluruhan projek berkenaan termasuklah pemasangan gantri dan cerucuk, penyediaan acuan serta kerangka konkrit.

"Kemajuan projek itu melibatkan keseluruhan perjalanan projek yang membabitkan pakej pertama dan kedua yang masing-masing menelan kos RM2.2 bilion dan RM1.55 bilion," tambahnya.

Menurutnya, pakej ketiga yang merangkumi kerja-kerja tanah serta pembinaan jalan raya akan dilakukan kemudian manakala tender bagi pakej tersebut akan ditawarkan dalam masa terdekat.


Source: Utusan Online

No comments:

Related Posts with Thumbnails