Monday, February 13, 2012

Catatan Konvoi Amal: Kubang Kerian Charity Ride - PEMBELA bersama Nusantara Bikers Club (NBC Penang)

Tarikh: 04 & 05hb Februari 2012
Tempat: Kubang Kerian, Kelantan Darul Naim

PEMBELA berkesempatan mengikuti satu program konvoi amal anjuran Nusantara Bikers Club (NBC Penang). Destinasi konvoi kali ini adalah ke sebuah rumah bertempat di Kubang Kerian, Kelantan. Rumah tersebut adalah kediaman (rumah sewa) Encik Mahadi serta Puan Salina yang mempunyai 7 orang anak di mana 2 daripadanya yang berumur kurang 2 tahun mengalami komplikasi penyakit pasang surut, lelah, sakit buah pinggang serta paru paru berair.

Turut serta dalam konvoi misi kebajikan ini adalah rakan rakan dari Northern Persona Owners Club (NPOC), KIPS Utara, Viva Owners Club (VOC) dan juga individu perseorangan.

Ekspedisi konvoi bermula seawal jam 9.30pagi dari Seberang Jaya, Pulau Pinang. Sebanyak hampir 60 biji motosikal dan 13 buah kereta telah menyertai konvoi ini. Perjalanan kami di iringi dan diketuai oleh pasukan marshall dari NBC serta dibantu oleh NPOC.

Konvoi tiba di Kubang Kerian dalam pukul 5.30petang. Lantaran keadaan jalan ke rumah yang hendak dituju itu terlalu sempit, para peserta konvoi terpaksa memikul barang barang sumbangan sejauh hampir 600meter.

Ketibaan kami disambut oleh Encik Mahadi sekeluarga. Perasaan terharu jelas terpampang di wajah beliau tatkala melihat ketibaan kami bersama sama dengan barang barang sumbangan yang di bawa. Beliau menitis airmata melihat kami dengan semangat serta azam dan kesanggupan datang beratus ratus kilometer untuk melawat keadaan beliau sekeluarga.

Upacara penyerahan sumbangan serta merta dilakukan kerana keadaan masa yang tidak begitu mengizinkan. Antara barang barang sumbangan termasuklah lampin pakai buang, susu tepung, barangan keperluaan harian, pakaian terpakai serta sumbangan tunai.

Semasa berada di rumah Encik Mahadi, pihak PEMBELA telah bertanya lebih lanjut tentang penyakit yang di alami oleh 2 orang anaknya.

Anaknya yang bernama Norshafiekah (1 tahun 7 bulan),mengalami penyakit lelah dan paru-paru berair, sukar untuk bernafas semasa tidur dan selepas mandi. Badan adik NorShafiekah sentiasa lemah dan tidak aktif seperti kanak kanak normal yang lain serta sentiasa bergantung dengan ubat-ubatan yang di sediakan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Manakala anaknya lagi seorang, adik Shafiq Idham (7 bulan),mengalami penyakit pasang surut, paru-paru berair dan kedua dua buah pinggang rosak yang kritikal (saiz buah pinggang yang kecil dan berlubang). Menurut doktor, anggaran jangka hayat adik Shafiq Idham hanya 1 tahun sahaja dan pembedahan ke atas adik Shafiq Idham tidak dapat dilakukan kerana terhalang dari segi faktor umur dan berat badan yang tidak seimbang. Untuk menahan kesakitan yang di alaminya,adik Shafiq Idham perlu menghabiskan 10 jenis ubat setiap hari dan perlu menjalani rawatan susulan setiap minggu.

Keperitan dan kesulitan kehidupan keluarga ini bertambah kerana Encik Mahadi hanya memiliki sumber pendapatan yang terhad. Encik Mahadi hanya bekerja sebagai pemandu bas dan isterinya puan Salina tidak bekerja kerana terpaksa memberi tumpuan kepada anak-anak yang masih kecil.

Setelah acara  penyerahan sumbangan selesai, konvoi kemudian bergerak untuk bermalam di chalet yang bertempat di kawasan Pantai Cahaya Bulan. Satu tempat yang agak popular di negeri Kelantan. Pada malamnya kami keluar bersiar siar sekitar Wakaf Che Yeh dan keesokkan harinya, selepas sarapan kami bersiar siar ke Pasar Siti Khadijah serta Rantau Panjang sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang.

Di kesempatan ini, pihak PEMBELA ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada NBC kerana memberi peluang kepada PEMBELA untuk turut serta dalam konvoi amal ini.

Terima kasih yang tidak terhingga juga buat kesemua penyumbang penyumbang  di atas keprihatinan terhadap nasib Encik Mahadi sekeluarga. Moga moga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

 Dan tidak ketinggalan ucapan terima kasih buat Puan NS dari Bertam, Kepala Batas Penang kerana sudi menaja makan pagi untuk peserta konvoi.

Kredit untuk semua penyumbang:
  • Ahli ahli PEMBELA
  • Pekerja Osram Opto Semiconductors (M) Sdn Bhd, Penang
  • Pekerja Fairchild Semiconductor (M) Sdn. Bhd, Penang
  • Ahli ahli Northern Persona Owners Club (NPOC Penang) 
  • Ahli ahli Elite Rider Club (ERC Penang)
  • Ahli ahli Smart e-Book Library
  • Rakan rakan serta kenalan rapat
Sedikit gambar untuk tatapan. Untuk lebih banyak foto, sila layari FACEBOOK PEMBELA

 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Related Posts with Thumbnails