Wednesday, March 7, 2012

Nukilan lawatan ke 'Rumah Di Bawah Rumah'

Tarikh: 04hb Mac 2012
Tempat: Kg Jilid 2, Sg Deraka, Merbok, Kedah Darulaman

Baru baru ini pihak kami telah menerima satu berita mengenai nasib malang satu keluarga yang tinggal agak hampir dengan tempat tinggal kami (dalam 30km dari kawasan kami). Kehidupan mereka dikatakan amat daif. Kami difahamkan mereka sekeluarga tinggal di rumah 'di bawah rumah'. 

Sebaik sahaja mendengar perkataan 'rumah di bawah rumah', lantas terlintas di fikiran kami filem 'Ibu Mertuaku'. Kami terkejut mendengar berita itu dan ingin melihat sendiri keadaan keluarga itu . Oleh itu petang Ahad yang lepas, kami pihak PEMBELA telah pergi untuk melihat sendiri keadaan keluarga tersebut. 


Rumah tersebut terletak di tengah tengah kawasan sawah padi. Jalan masuk cuma melalui batas batas bendang. Parking kereta kat tepi jalan besar dan jalan kaki masuk merentasi kawasan sawah padi.

Inilah yang dikatakan 'rumah di bawah rumah' tempat kediaman keluarga tersebut. Namun kami difahamkan mereka telah 'berpindah'.

'Kediaman' baru keluarga berkenaan. Mereka dinasihatkan oleh 'tuan rumah atas' supaya 'berpindah' kerana khuatir dan atas faktor keselamatan kerana bahagian atas rumah dah semakin reput. Takut tuan rumah atas tertimpa orang kat bawah rumah. Kami terkedu dan hilang kata kata. Anda boleh nilai sendiri dari foto foto di bawah.
 
 
 
 

Bilik air  serta tempat mencuci keluarga tersebut. 
 

Serba sedikit inilah keadaan keluarga yang tinggal di 'rumah di bawah rumah' itu. Sekarang mereka telah berpindah ke 'kediaman' baru yang hanya merupakan sebuah dangau / pondok.

Itulah kediaman keluarga Encik Ahmad Azuan Abu Yazid atau lebih mesra di panggil Wan (26 tahun). Beliau tinggal bersama isteri (31 tahun) bersama empat orang anak beliau berumur 7 tahun, 6 tahun, 4 tahun dan yang bongsu berumur 6 bulan. Beliau yang berpendapatan tidak menentu hanya melakukan kerja menangkul ketam sebagai mata pencarian untuk keluarga beliau. Isteri beliau tidak bekerja namun kadang kadang mengambil upah kupas ikan bilis bagi membantu keluarga.

Menurut Encik Wan, sebelum ini mereka ada menyewa rumah namun terpaksa keluar kerana tidak mampu membayar sewa. Namun atas belas ehsan adik iparnya, mereka sekeluarga dibenarkan menumpang tinggal di bawah rumah adik iparnya kerana itu saja yang mampu ditawarkan oleh adik iparnya yang turut mengalami nasib yang hampir sama. Cuma adik iparnya lebih bernasib baik sedikit kerana tinggal di rumah pusaka yang usang dan sempit milik keluarga. Dan akhirnya Encik Wan sekeluarga terpaksa berpindah dari bawah rumah dan membina pondok bersebelahan kerana faktor keselamatan jika terus tinggal di bawah rumah.

Semasa sessi lawatan ini, kami telah menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut. Gambar di bawah adalah gambar Encik Wan bersama 3 orang anak beliau. Isteri beliau serta anak yang bongsu tidak bersama kerana pergi membuat kerja mengambil upah kupas ikan bilis.
 
 
Maklumat Terkini:
Baru baru ini kami mendapat maklumat yang Encik Ahmad Azuan akan mendapat rumah bantuan PPRT dalam masa terdekat (namun kami tidak pasti bila). Namun sebegitu, jika masih ada sesiapa yang berhajat untuk melawat atau memberi sumbangan kepada Encik Ahmad Azuan (No KP: 851014-02-6005), boleh menghubungi Encik Wan sendiri di talian: 017 4027534.

Berita mengenai nasib keluarga Encik Ahmad Azuan Abu Yazid juga ada disiarkan dalam Utusan Malaysian Online (klik untuk membaca).

1 comment:

Ibnu Batutah said...

YB kawasan itu sudah tahu ke?

Related Posts with Thumbnails