Sunday, December 22, 2013

Misi Bantuan Banjir Pantai Timur – Kemaman 2013

Misi Bantuan Banjir Kemaman ini merupakan misi kedua yang dijalankan setelah proses peninjauan pertama dilakukan pada 6hb Disember oleh NGO Wargakilang Pada kali ini, persiapan barangan telah diaturkan dengan lebih teratur.

Program pengumpulan barangan sumbangan telah dijalankan seminggu lebih awal hasil inisiatif anjuran GKKNK (Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah) dan dengan kerjasama NGO Pembela di SP Plaza, Sungai Petani telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari rakan-rakan serta orang ramai. Antara sumbangan yang diperolehi ialah makanan kering seperti beras, biskut, gula & tepung. Selain itu terdapat juga sumbangan pakaian, lampin bayi serta tilam nipis. Hasil jumlah barangan yang berjaya dikumpulkan ialah sebanyak lori 1 tan serta 1 kenderaan pacuan empat roda.

Kesemua barangan kemudiannya telah ditempatkan di Daging Segar Outlet, Bandar Laguna Merbok, Sg Petani. Di situ, telah berjalan pula program pengumpulan barangan selama seminggu iaitu dari 9 hingga 13hb Disember untuk orang ramai yang berminat memberikan sumbangan.

Pada 11hb Disember, sebahagian barangan yang dikumpulkan telah diserahkan kepada wakil NGO Wargakilang di Padang Serai. Di sana, jumlah hasil sumbangan telah diselaraskan untuk pemberian bantuan kepada kira-kira 200 keluarga mangsa banjir.

Akhirnya, pada Sabtu 14hb Disember 2013, misi bantuan banjir yang diketuai oleh NGO Wargakilang dan disertai oleh Pembela, Artcon Enterprise serta rakan-rakan yang lain ini bergerak ke Kemaman. 
 
Konvoi ini juga disertai oleh rakan-rakan dari sekitar Lembah Klang. Kawasan yang menjadi sasaran bantuan pada kali ini ialah perkampungan di Pasir Gajah dan Seberang Tayor yang terletak dalam daerah Kemaman. Proses pemberian bantuan berjalan dengan lancar dan berlarutan hingga waktu malam. Dianggarkan kira-kira 250 keluarga mangsa banjir telah mendapat sumbangan barangan. 
 
Tahniah dan terima kasih buat semua penyumbang dan yang terlibat!




Disediakan oleh:
SukriKamis / Azhan Jamaludin
Team PEMBELA





Saturday, December 7, 2013

Terjah Banjir – Penyerahan Barang Sumbangan Untuk Mangsa Banjir Pantai Timur

Tarikh: 05 Disember 2013
Lokasi: Padang Serai, Kulim, Kedah

Berikutan keadaan banjir yang semakin meruncing di pantai timur terutamanya di Kemaman pada hari ini (5hb Disember 2013), pihak NGO Pembela telah mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Derma Kilat bagi pembelian barangan keperluan asas.

Sehingga jam 7.00 petang tadi, sejumlah RM1013 telah berjaya dikumpul hasil sumbangan dari ahli Pembela, warga kerja OSRAM termasuklah Geng Meja Panjang OSRAM PEN1, Geng OSRAM Otai serta Rel & FA Crew. Selain itu rakan-rakan dari Penjejak Gunung/ HTU, rakan rakan dari Seram Trekkers Crew (STC) dan lain lain juga turut memberikan sumbangan.

Barangan keperluan yang dibeli ialah hampir 300 buku pelbagai jenis roti buku dan dikumpulkan di Sg Petani. Tepat jam 8.30 malam, konvoi warga Pembela yang berjumlah 16 orang termasuk ahli keluarga dan kanak-kanak telah bertolak ke Padang Serai untuk bertemu dengan wakil Wargakilang.

Majlis penyerahan telah berlangsung dengan selamatnya d Padang Serai pada jam 9.45 malam dan telah diterima sendiri oleh YDP Wargakilang iaitu En. Monier. Selain barangan tersebut, sejumlah kecil wang tunai juga telah diserahkan untuk pembelian barangan keperluan lain.

Beliau dan seorang rakan lagi dijangka akan bertolak pada awal pagi (06hb Disember) dan menuju terus ke Bandar Kemaman. Semoga perjalanan beliau ke sana akan dipermudahkan dan adalah diharapkan pemberian serba-sedikit ini akan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Terima kasih buat semua yang terlibat.
 
 

Wednesday, November 20, 2013

Program Kembara Malam PEMBELA – Edisi Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani

Tarikh: 19 November 2013
Lokasi: Sekitar Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah

Program Kembara Malam pada bulan November ini diteruskan lagi dengan sesi ziarah dan penyerahan sumbangan untuk keluarga daif sekitar kawasan Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani (berhampiran Institut Perguruan Sultan Abdul Halim - IPSAH). Kembara kali ini bermula sekitar jam 9.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam.

Pada kali ini, sebanyak 5 keluarga telah dikenalpasti dengan bantuan Mak Teh (wakil penduduk setempat). Kebanyakan mereka boleh dikategorikan sebagai golongan "miskin bandar". Rombongan kembara turut disertai oleh rakan-rakan dari PWC Sungai Petani Crew.

Penerima pertama yang dilawati ialah Pn. Karimah bt Daud. Beliau yang sedang menghadapi sakit buah pinggang kelihatan uzur dan berkerusi roda. Buat masa ini rawatan untuk buah pinggang dilakukan di Hospital Sg Petani.

Keluarga yang kedua ialah En. Yusof b. Abu Yazid. Anak-anaknya seramai 9 orang menyambut rombongan kembara malam dengan riang. Buat masa ini, beliau tidak mampu lagi untuk bekerja kerana baru menghadapi strok di sebelah kiri tubuh badan.

Pn. Sharifah bt. Ibrahim yang merupakan penerima ketiga dilawati juga sedang menghadapi strok. Ketika dilawati beliau hanya sedang berehat di atas tilam di ruang tamu rumahnya.

Pn. Norizah bt Arshad pula mengalami kemalangan. Dengan tanggungan anak seramai 10 orang (2 perempuan sedang berada di universiti dan 8 lagi masih di rumah) serta suaminya yang mengalami masalah kesihatan, maka agak sukar untuk menyara keluarga.

Keluarga terakhir yang dikunjungi ialah Pn Salina Bt Hamid. Beliau merupakan bekas pesakit barah payu dara dan kaki kirinya juga telah dipotong hingga paras lutut. Beliau kelihatan terharu dengan kunjungan serta sumbangan dari sesi kembara malam pada kali ini. Adalah diharapkan dengan sumbangan barangan keperluan harian ini akan dapat mengurangkan serba-sedikit beban kehidupan harian mereka.

Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat!

Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin / SukriKamis
Team PEMBELA

Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda untuk OKU

Tarikh: 18 November 2013
Lokasi: Bengkel Daya, JKM Sungai Petani, Kedah Darulaman

PEMBELA diberi kepercayaan untuk melakukan penyerahan kerusi roda untuk kegunaan peserta Bengkel Daya, saudara Ahmad Nizam. Kami dari pihak PEMBELA amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk melakukan penyerahan ini. Terima kasih buat yang menyumbang. Moga moga usaha kita semua ini diberkati.

"Saya redha dengan ujian yang Allah berikan kepada saya. Walaupun saya sukar dan susah untuk bergerak, namun hakikatnya ada lagi yang kurang bernasib baik dan lebih susah dari saya di luar sana. Sesungguhnya kita harus berterima kasih dan bersyukurlah dengan apa yang ada" - Ahmad Nizam (penerima sumbangan kerusi roda).

Monday, November 18, 2013

Ziarah Pesakit Pasang Surut (Hernia)

Tarikh: 17 November 2013
Lokasi: Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang

Sessi ziarah ringkas dan pemberian sumbangan kepada seorang rakan yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan penyakit pasang surut.

Encik Sharil, 32 tahun yang hanya bekerja di gerai char kue teow dan bergaji harian. Ada kerja ada gaji, tiada kerja tiada gaji. Mempunyai 3 orang anak (9, 7 & 1 tahun) dan tinggal di rumah sewa yang serba agak kekurangan. Manakala isteri tidak bekerja.

Lantaran dari pembedahan ini, beliau tidak dapat bekerja dan secara tidak langsung terus kehilangan sumber pendapatan secara tiba tiba.

Moga moga dengan sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat meringankan beliau sekeluarga.

Kepada mana mana pihak yang ingin turut sama membantu, boleh menghubungi kami untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails