Wednesday, June 12, 2013

Temasya Makanan Muslim Pulau Pinang 2013 - "Feasts of Penang"

Tarikh: 09 Jun 2013
Tempat: Lebuh Acheh & Armenian Street, Pulau Pinang

Pihak PEMBELA telah diberi peluang untuk menjadi sukarelawan serta bertindak sebagai urusetia dalam menjayakan program ini. 
 
Program anjuran Thinkcity & Georgetown World Heritage Inc. bersempena dengan sambutan Georgetown Festival 2013 turut dimeriahkan dengan kehadiran TYT Pulau Pinang & Toh Puan beserta Dif-dif Kehormat, pembesar-pembesar dan juga pegawai-pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang. 
 
Program ini menyaksikan para pengunjung dapat melihat dan menikmati hidangan serta jualan pelbagai jenis masakan warisan turun temurun sejati Pulau Pinang yang disediakan oleh lebih kurang 15 kumpulan NGO persatuan wanita muslim Pulau Pinang. 
 
Pada temasya ini juga diadakan majlis pelancaran buku “Feasts of Penang: Muslim Culinary Heritage” karya Dato’ Dr Wazir Jahan Karim. 
 
Tahniah dan syabas buat semua yang terlibat.
 



Tuesday, June 4, 2013

Ekspedisi Trek Lagenda Jejak Warisan Gunung Jerai 2013

Tarikh: 01 & 02 Jun 2013
Tempat: Gunung Jerai, Kedah Darulaman

Satu aktiviti santai dan riadah pendakian Gunung Jerai melalui Trek Jejak Warisan anjuran bersama PEMBELA & Sinar Utara Agrofarm (SUA). Tujuan ekspedisi ini adalah untuk melahirkan belia dengan gaya hidup sihat dan juga untuk mempopularkan laluan denai pendakian ini. Aktiviti ekspedisi ini meliputi aktiviti pendakian, perkhemahan dan juga BBQ di puncak Gunung Jerai.

Ekspedisi ini juga telah dijayakan dengan penglibatan sahabat sahabat dari Hikers Trekkers United (HTU), Geng Semut Hitam (GSH) serta rakan rakan perseorangan. Aktiviti juga mendapat sokongan penuh dan kerjasama dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Majlis Belia Daerah Kuala Muda, Pejabat Hutan Kedah Tengah, AADK Kuala Muda, Katering SUArasa serta Balai Polis Merbok.

Para peserta telah berkumpul seawal 8.00 pagi di perkarangan Muzium Arkeologi Lembah Bujang untuk menikmati sarapan pagi dan mendengar taklimat dari pihak penganjur. Seterusnya taklimat dan ucapan aluan oleh wakil AADK, Encik Sham serta wakil Majlis Belia Daerah Kuala Muda, Encik Rosnawi Zenon. Acara pelepasan telah dirasmikan oleh Pn. Nurul Azlida selaku Penolong Kurator Muzium Arkeologi tepat jam 9.00 pagi.

Setelah bacaan doa yang disempurnakan oleh En. Nasir yang juga bertindak sebagai petugas perubatan, para peserta seramai 27 orang yang diketuai oleh En. Azhan Jamaludin telah bergerak tepat jam 9.15 pagi.

Pendakian sepanjang kira-kira 9km ini meliputi 7 checkpoints dan telah mengambil masa purata 4 hingga ke 5 jam untuk dihabiskan. Antara lokasi yang paling menarik sepanjang pendakian ialah Puncak Kepala Angin berdekatan stesen checkpoint 6. Di sini, para peserta akan dapat menikmati pemandangan yang sangat menarik.

Dengan semangat berpasukan yang tinggi, para peserta telah berjaya sampai ke destinasi checkpoint 7 pada pukul 3.30 petang. Kemudiannya mereka bertolak ke Hutan Lipur Sungai Teroi untuk aktiviti BBQ dan juga mendirikan khemah masing-masing.

Tepat jam 8 malam, aktiviti BBQ telah diadakan dengan jamuan utama iaitu Kambing Golek dan juga makanan lain seperti jagung bakar serta cheezy wedges. Selepas aktiviti santai dan ramah mesra antara semua peserta, sekitar jam 11 malam, kebanyakan peserta telah tidur di khemah masing-masing.

Akibat dari hujan lebat yang bermula seawal 7 pagi, sesi jamuan sarapan pagi telah dilewatkan pada jam 8 pagi. Para peserta menikmati roti, scramble eggs dan juga baked beans. Sekitar jam 10.30 pagi, 2 buah van telah bersedia untuk mengambil para peserta pulang ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Di situ, Pn. Nurul Azlida telah sedia menunggu untuk memberikan taklimat ringkas tentang sejarah Lembah Bujang serta fungsi Muzium Arkeologi. Untuk menyerikan suasana, sesi kuiz sejarah telah diadakan dan pihak muzium telah bermurah hati untuk menyediakan saguhati kepada 5 peserta yang berjaya menjawab soalan dengan tepat.

Akhir sekali, majlis disempurnakan sekitar jam 12.45 tengahari dengan penyerahan sijil penyertaan oleh Pn. Nurul Azlida kepada pengerusi Pembela En. Sukri Kamis.

Pada kesempatan ini, kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini. Tahniah dan syabas buat semua! 
 








Wednesday, May 29, 2013

Edisi Santai - Penang Hill Nite Hike 3.0 (Sunrise View)

Tarikh: 25 Mei 2013
Tempat: Bukit Bendera, Pulau Pinang

Menyertai edisi santai hiking Bukit Bendera anjuran Hikers Trekkers United (HTU) yang diketuai oleh saudara Sarizal Mohammad. Turut menyertai adalah sahabat hikers dari Osram Penang. Tahniah buat semua yang terlibat.

Uphill: 1.00 pagi / Downhill: 7.15 pagi



Saturday, May 25, 2013

Projek Komuniti Kuala Ketil (Projek Pembinaan Rumah Untuk Keluarga Daif) - Fasa I

Tarikh: 24 Mei 2013
Tempat: Kg Paya Besar, Kuala Ketil, Kedah Darulaman

Fasa pertama bagi Projek Komuniti Kuala Ketil iaitu pembinaan rumah untuk satu keluarga daif di Kampung Paya Besar telah dilaksanakan dengan jayanya. Projek anjuran PEMBELA dengan kerjasama ATS Penang turut dibantu oleh Sinar Utara Agrofarm (SUA), NPOC, PPEOC Utara serta rakan rakan setempat.

Untuk makluman, Projek Komuniti Kuala Ketil adalah satu usaha PEMBELA bagi membantu membina kediaman untuk keluarga daif di Kuala Ketil dengan kerja kerja pengumpulan dana telah dilakukan sejak Oktober 2012. Namun atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, kerja kerja pembinaan hanya dapat dimulakan pada masa sekarang. Dana bagi bahan binaan dan peralatan telah diperolehi daripada sumbangan rakan rakan dan juga individu individu yang prihatin.

Program pada pagi tersebut telah disertai oleh seramai 15 orang dengan skop utama kerja dalam fasa pertama ialah meninjau susun-atur plan rumah, menyiapkan bancuhan konkrit dan menaikkan tiang.

InsyaALLAH, fasa kedua dan ketiga akan dijalankan pada 15 & 16 June 2013 nanti. Kepada yang kelapangan, dijemput hadir.

Dan untuk makluman, pihak kami masih memerlukan dana tambahan bagi membiayai projek ini. Justeru itu, kepada yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan, boleh menghubungi kami. Terima kasih atas keprihatinan anda.


Puan Samrah yang kematian suami pada Mac 2013 yang lalu berdiri di hadapan kediaman beliau. Beliau kini bersama anak anak terpaksa menumpang di rumah jiran berdekatan.

Keadaan kediaman Puan Samrah yang diambil pada November 2012 yang lalu (sebelum kematian suami).


24 Mei 2012 - Kerja kerja pembinaan rumah (Fasa I)



Terima kasih buat semua yang terlibat.

Sunday, May 5, 2013

Edisi Santai - Hiking Gunung Baling

Tarikh: 04 Mei 2013
Tempat: Gunung Baling, Kedah Darulaman

Edisi santai hiking Gunung Baling bersama sama sahabat sahabat dari Geng Penjejak Gunung & Hikers-Trekkers United . Trip disertai lebih 20 orang peserta ini diketuai oleh Fizul Ahyat (Team Penjejak Gunung). Tahniah dan terima kasih buat semua!
 
 



Related Posts with Thumbnails