Wednesday, April 16, 2014

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke - 5 (Tahun 2014)

Tarikh: 12 April 2014
Lokasi: Lot 2048, Kg Sg Baru, Bujang, Bedong, Kedah Darulaman

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke - 5 (Tahun 2014) Pertubuhan Belia Amanah (PEMBELA) telah selamat diadakan pada 12 April 2014 yang lalu. Perasmian disempurnakan oleh Puan Masnira Morad (Pegawai Jabatan Belia & Sukan Daerah Kuala Muda).

Turut hadir adalah Dato Tajul Urus (Exco Kerajaan Negeri Kedah), Encik Anuar (Ahli Majlis MPSPK) serta sahabat sahabat dari Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah (GKKnK), PPEOC, PWC, NPOC dan lain lain.

Sekalung penghargaan juga buat Encik Rosrizal (Zan Kato) atas jamuan makan serta persediaan tempat. Dan tak lupa juga buat semua yang menaja makanan & minuman untuk AGM kali ini.

Terima kasih juga buat Sinar Utara Agrofarm atas servis BBQ kambing golek.

Mesyuarat kali ini juga dimeriahkan oleh acara cabutan bertuah di samping sambutan hari lahir untuk beberapa orang ahli PEMBELA.

Akhir kata, terima kasih buat semua yang terlibat.

Monday, April 7, 2014

Penyerahan Sumbangan kepada Palestin



Penyerahan Sumbangan kepada Palestin
Tarikh: 05 April 2014
Lokasi: Sungai Petani, Kedah

Rentetan daripada jualan amal T-shirt SAVE GAZA - PEMBELA yang dilaksanakan pada tahun lepas, sebahagian hasil jualan tersebut telah disalurkan kepada saudara saudara Islam kita di negara Palestin.

Sumbangan sebanyak RM3000 telah diserahkan kepada wakil Aman Palestin Malaysia, Encik Budiyanto Bin Unggun.

Kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan berbanyak ucapan terima kasih kepada semua yang menyokong merealisasikan jualan dan sumbangan amal ini.

Terima kasih buat semua yang terlibat.


Program Gotong Royong Rumah Anak Yatim bersama NGO PEMBELA

Program Gotong Royong Rumah Anak Yatim bersama NGO PEMBELA

Tarikh: 05 April 2014
Lokasi: Kuala Ketil, Kedah Darulaman

Program amal anjuran PEMBELA gotong royong rumah anak yatim yang terletak di Kg Paya Besar, Kuala Ketil.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah membersih kawasan serta menurap halaman konkrit. Pada program ini diadakan satu sesi penyerahan pakaian terpakai. Aktiviti bermula sekitar jam 10.00 pagi dan berakhir jam 4.00 petang.

Terima kasih buat semua yang terlibat.

Kredit: Hardware Titi Semeling, Sinar Utara Agrofarm, Nazza Trading & Services, GKKnK - Gabungan Kelab Kereta negeri Kedah, PWC Kuala Ketil, FLOC, PERTAMA, PPEOC, AROCM, MSOC, 1STEAMER, M7 KEDAH, D&F Audio Kuala Ketil serta penyumbang penyumbang perseorangan.

Sunday, April 6, 2014

Ziarah Ibu Tunggal – Bukit Jambul Indah

Tarikh: 03 April 2014 | 8.30 malam
Lokasi: Bukit Jambul Indah, Pulau Pinang

Pihak PEMBELA berkesempatan menziarahi serta menyampaikan sedikit barangan keperluan harian kepada Puan Lin, 41 tahun yang baru sahaja kematian suami sejak 6 bulan yang lalu.

Beliau yang tiada pendapatan tetap dan hanya mengambil upah mengurut wanita bersalin. Mendapat bantuan JKM sebanyak RM150 sebulan namun terpaksa bertungkus lumus menyara kehidupan beliau sekeluarga.

Mempunyai 5 orang cahaya mata (20, 17, 15, 13 & 4 tahun). 4 orang daripada anaknya masih lagi bersekolah. Lebih malang lagi, salah seorang anaknya baru sahaja mengalami patah kaki akibat kemalangan.
Puan Lin juga sekarang sedang menderita penyakit kanser pangkal rahim.

Tinggal di rumah sewa di mana sewa bulanannya adalah sebanyak RM480 sebulan.

Kepada yang berhajat untuk membantu atau menziarahi beliau, boleh hubungi secara terus dengan Puan Lin di talian: 016 4836296.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun bank beliau: CIMB 0714 0161 319 521
 


Program 'Titian Kasih - Gotong Royong Baikpulih Rumah Daif"

Tarikh: 09 Feb 2014
Lokasi: Kg Merbok, Merbok, Kedah

PEMBELA berkesempatan menyertai program kebajikan anjuran Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (Daerah Kuala Muda). Program diadakan Kg Merbok, Merbok, Kedah. 
 
Satu majlis tahlil ringkas juga diadakan pada hari tersebut. Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat.




 

Ekspedisi Kayak Pulau Kazambo



Tarikh: 15 Mac 2014
Lokasi: Pulau Kazambo, Penang

Acara santai berkayak ke Pulau Kazambo bersama Kelab Cabaran Pulau Pinang (KCPP), Team Penjejak Gunung & Hikers Trekkers United (HTU). Ekspedisi juga disertai oleh rakan rakan dari Pejabat SUK Negeri Pulau Pinang.

Seramai 34 orang telah mengikuti ekspedisi ini yang bermula jam 6.30 pagi dan berakhir sekitar jam 11.30 pagi. Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat.



Friday, April 4, 2014

Ekspedisi Gunung Perlis 2014

Tarikh: 08 Mac 2014
Lokasi: Gunung Perlis, Perlis

Pada Sabtu 8h Mac 2014 lepas, PEMBELA bersama Seram Trekkers Crew (STC), Team Penjejak Gunung, Hikers Trekkers United (HTU) telah mengadakan aktiviti mendaki Gunung Perlis setinggi 733 meter (a.p.l) yang terletak di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian. Tujuan utama ekspedisi ini ialah mendaki ke titik paling utara di Semenanjung Malaysia yang menempatkan batu sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Seramai 17 orang pendaki dari negeri Pulau Pinang dan Kedah telah menyertai aktiviti ini dengan kebanyakannya mempunyai pengalaman mendaki gunung-ganang di Malaysia. Anggota ekspedisi telah bertolak dari Hentian R&R Gurun pada pukul 8.45 pagi dan sampai di Taman Negeri pada pukul 10.45 pagi. Di situ, kedatangan telah disambut oleh En. Fikri selaku Pegawai Pejabat Perhutanan Negeri Perlis . Beliau juga telah memberikan taklimat ringkas tentang sejarah penubuhan taman negeri serta jenis-jenis flora dan fauna yang terdapat di situ. Antara yang paling istimewa ialah pokok Bogak yang boleh hidup hingga jutaan tahun.

Pendakian telah bermula sekitar pukul 11.30 pagi dengan diketuai oleh penunjuk jalan Taman Negeri Perlis iaitu En. Amy. Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 8km, pelbagai pemandangan menarik ditemui seperti aliran air anak sungai, pokok besar dll. Tepat pukul 3.00 petang, anggota ekspedisi selamat sampai ke puncak Gunung Perlis. Selain mengambil peluang bergambar dengan batu yang menjadi tanda sempadan antara Malaysia dan Thailand, para peserta juga telah menikmati hidangan makan tengahari yang dibawa bersama sebagai bekal.

Perjalanan turun yang melalui trek berbeza hanya sepanjang 5km tetapi ianya lebih curam dan perlu melalui anak-anak tangga. Anggota ekspedisi telah mengambil masa hampir 2 jam iaitu dari pukul 3.30 petang dan turun semula ke kawasan meletak kereta sekitar pukul 5.30 petang.

Tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Perlis!





Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin / SukriKamis
Team PEMBELA

Discover Royal Belum 2014



Discover Royal Belum 2014 bersama Belum Outdoor Adventure (BOA)
Tarikh: 22 & 23 Feb 2014

Pihak PEMBELA bersama rakan rakan dari Pejejak Gunung, Hikers-Trekkers United (HTU), Seram Trekkers Crew (STC) berpeluang mengikuti satu trip santai melawat kawasan Hutan Royal Belum. Trip ini dikelolakan sepenuhnya oleh Belum Outdoor Adventure (BOA).

Bertolak seawal 9.00 pagi dari Pulau Pinang, konvoi bergerak merentasi gugusan Banjaran Bintang dan tiba di jeti awam Tasik Banding sekitar jam 12.00 tengahari.

Tiba di sana, houseboat bersama sama krew BOA sedia menanti kedatangan kami. Turut serta dalam edisi lawatan Hutan Royal Belum ini adalah kumpulan kumpulan orang perseorangan yang lain. Sekumpulan pelancong asing juga turut serta dalam ekspedisi ini yang menjadikan jumlah keseluruhan yang mengikuti trip houseboat ini adalah 60 orang.

Lebih kurang jam 1.30 petang, houseboat mula bergerak membelah ketenangan Tasik Banding. Setelah sejam lebih berada di dalam houseboat, kami tiba di Kem X – Ray. Houseboat berlabuh dan kami memulakan acara trekking untuk pergi melihat bunga rafflesia.

Kami agak tidak bernasib baik kerana  kebanyakkan bunga rafflesia belum lagi cukup kembang dan sesetengahnya telah pun mati. Namun pengalaman yang dikecapi, suasana yang begitu menenangkan sudah cukup untuk menggembirakan hati kami walaupun melihat bunga yang tidak cukup kembang.
  
Hampir dua jam bersantai di kawasan Kem X – Ray, kami kemudian mula bergerak menaiki house boat menuju ke penempatan orang asli yang digelar Kg Chuweh 2.  Kami di bawa melihat kawasan sekitar dan diberi keterangan latarbelakang serta cara hidup orang asli.

Acara santai dan bebas pun bermula. Mandi tasik, makan, tidur, ambil gambar dan sebagainya. Kami bermalam di kawasan ini. Ada yang bermalam di atas houseboat, ada yang bermalam di rumah orang asli dan ada juga yang tidur di dalam khemah. Acara BBQ juga diadakan pada malam tersebut.

Keesokan harinya, kami di bawa ke kawasan hutan yang digelar Hutan Sg Enam. Setelah trekking hampir sejam, segala kepenatan dan kerisauan terus hilang apabila melihat air terjun yang sangat cantik di depan mata. Tanpa berlengah acara mandi air terjun, menyelam dan tertelan air pun bermula. 















Sesungguhnya edisi santai kali ini begitu amat menenangkan serta menyeronokkan. Terasa 2 hari 1 malam berlalu begitu pantas sekali. Rata rata peserta amat gembira dan rasa berbaloi dengan pakej lawatan yang berharga RM150 seorang. Segala makan minum penginapan disediakan. Namun pengalaman dan kepuasan mengatasi segalanya.

Related Posts with Thumbnails