JARINGAN Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-89 membawa skuad bola sepak bawah 23 kebangsaan mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak lelaki pada Sukan Sea ke-25 selepas menewaskan juara lapan kali, Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos di sini petang tadi.
Skuad bimbingan K Rajagobal berdepan misi “hidup atau mati” bertemu juara bertahan itu yang sekadar memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir bagaimanapun berjaya mengikat asakan Thailand yang mendominasi permainan.
Thailand yang dibimbing bekas jurulatih skuad bola sepak Perak, Steve Darby, memperolehi dua percubaan berbahaya hasil gerakan penyerang berkembar mereka Sompong Soleb dan Anawin Jujeen, masing-masing pada minit ke-5 dan ke-9 yang mencemaskan seketika gawang Malaysia.
Malaysia juga mempunyai tiga peluang yang mampu menghasilkan gol awal namun percubaan daripada Norshahrul Idlan Talaha, S Kunalan dan Safiq Rahim tersasar untuk keputusan seri tanpa gol pada separuh masa pertama.
Thailand bagaimanapun bangkit pada awal babak kedua dan berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-52 menerusi Arthit Suntornpanavej.
Anak buah Rajagobal terpaksa menunggu sehingga minit ke-81 untuk mencari gol penyamaan yang dijaringkan oleh Mohd Nasriq Baharom selepas menampan kemas bola ke gol lawan, hasil umpanan Mohamad Muslim Ahmad.
Tertekan dengan gol penyamaan itu, skuad Thailand menggandakan asakan tetapi dapat diserap oleh benteng Malaysia dan prestasi cemerlang dari penjaga gawang, Mohd Sharbinee Allawee.
Seminit sebelum pengadil Pratap Singh dari India meniup wisel penamat, Ahmad Fakri menggamatkan hampir 100 penyokong Malaysia di stadium itu apabila bola tampanannya, hasil hantaran lintang Norshahrul Idlan Talahan, menerjah jaring Thailand.
Kejayaan skuad bola sepak mencipta sejarah menyingkirkan Thailand turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.
Thailand adalah juara lapan kali termasuk pada Sukan Sea Korat dua tahun lalu dan tidak pernah gagal melayakkan diri ke separuh akhir pada temasya sukan dwi-tahunan itu sejak 1973.
Malaysia, naib juara kumpulan A akan bertemu juara kumpulan B, tuan rumah, Laos, pada peringkat separuh akhir manakala satu lagi perlawanan membabitkan juara kumpulan A, Vietnam yang bertemu naib juara kumpulan B, Singapura yang akan berlangsung Isnin depan.
------------------------------------------------------------------------------------------
VIENTIANE 11 Dis. - Malaysia mara ke separuh akhir bola sepak lelaki pada temasya Sukan SEA ke-25 selepas berjaya menumbangkan Thailand 2-1 pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Utama di sini sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, Malaysia yang menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A di belakang Vietnam akan bertemu tuan rumah, Laos yang juga juara Kumpulan B. - Utusan