Sunday, November 23, 2014

JJMK NGO Wargakilang - Bukit Lamu, Baling, Kedah

Tarikh: 22 November 2014
Lokasi: Bukit Lamu, Baling, Kedah Darulaman

Menyertai program NGO Wargakilang JJMK Bukit Lamu, Baling, Kedah. Program yang berakhir sekitar jam 11.30 malam dalam keadaan hujan menyaksikan  sebanyak 60 keluarga kebanyakan dari golongan penoreh getah orang menerima sumbangan berbentuk barangan harian dan sebagainya.

Tahniah buat semua yang terlibat dan terima kasih buat semua yang tak putus putus menghulurkan sumbangan. 


Ziarah Kampung Permai II – Sungai Petani, Kedah

Ziarah Kampung Permai II – Sungai Petani, Kedah
Tarikh: 15 November 2014
Lokasi: Kg Permai II, Sungai Petani, Kedah

Sesi ziarah ringkas dan penyampaian sumbangan harian kepada keluarga daif sekitar kawasan Kg Permai II, Sungai Petani, Kedah. Sebanyak 4 keluarga daif telah diziarahi pada sesi lawatan kali ini. 
 
Terima kasih buat semua yang mengirim serta sudi menyumbang untuk diserahkan kepada keluarga terbabit. Terima kasih banyak banyak

Aktiviti Pantai Merdeka – Yang Penting Kerjasama (Program Motivasi & Perkhemahan Bersama Anak Yatim)

 
Tarikh: 14 & 15 November 2014
Lokasi: Pantai Merdeka, Kedah Darulaman

Pada Jumaat 14hb November 2014 yang lepas, satu program perkhemahan untuk penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda (Rumah Anak Yatim Che Bema) telah dijalankan dengan jayanya. Program yang bertempat di Pantai Merdeka itu mengambil masa selama 2 hari 1 malam dan melibatkan hampir 30 orang anak yatim.

Program ini merupakan hasil dari idea para usahawan 1MET FAMA yang diketuai oleh En. Syahrul dan En. Zafri yang ingin menjalankan khidmat sosial kepada masyarakat setempat. Ianya juga melibatkan PEMBELA selaku NGO yang aktif menjalankan aktiviti melibatkan golongan belia di sekitar daerah Kuala Muda.

Aktiviti dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pemunggahan barangan masakan untuk aktiviti perkhemahan di Daging Segar Outlet. Para penghuni rumah anak yatim pula dibawa ke Pantai Merdeka dengan van serta kenderaan para usahawan 1MET FAMA serta PEMBELA.

Sebaik sahaja sampai di Pantai Merdeka, taklimat serta pembahagian kumpulan telah dilaksanakan oleh pihak fasilitator yang diketuai oleh En. Syahrul dan En. Zafri serta dibantu oleh bebrapa pelajar UiTM Merbok. Aktiviti pertama yang dijalankan ialah aktiviti memasak dalam kumpulan. Peserta perkhemahan dilatih untuk menyediakan masakan tengahari sendiri sebagai satu langkah meningkatkan tahap kendiri masing-masing.

Pada petangnya pula, para peserta diajar bagaimana mendirikan khemah oleh para fasilitator. Selepas itu, aktiviti bebas dijalankan dengan para peserta mengambil peluang untuk mandi pantai sambil diawasi oleh para fasilitator. Petang itu juga menyaksikan kehadiran Dato Tajul Urus Mat Zain (Exco Kerajaan Negeri Kedah) yang sempat singgah dan memberi sepatah dua kata kepada kesemua peserta program.

Selepas solat maghrib berjemaah, tazkirah ringkas telah diberikan oleh Ustaz Nasir dari PEMBELA dan diikuti oleh solat Isyak berjemaah. Acara kemuncak pada waktu malamnya ialah jamuan BBQ iaitu kambing golek yang diuruskan oleh pihak Sinar Utara Agrofarm. Jamuan ini ditaja oleh pihak NGO PEMBELA serta pihak Majlis Belia Daerah Kuala Muda. Selepas jamuan BBQ, diadakan pula aktiviti ringkas kumpulan untuk memupuk semangat kerjasama para peserta. Aktiviti ini telah diselia oleh pihak PEMBELA. Tepat jam 11.30 malam, para peserta masuk tidur di khemah masing-masing.

Aktiviti pagi kedua dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan diikuti oleh sarapan pagi berupa nasi goreng, roti, sosej, baked beans serta scrambled eggs yang disediakan oleh NGO PEMBELA.

Para peserta kemudiannya mengambil bahagian dalam aktiviti treasure hunt dan beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK). Kemudiannya aktiviti santai telah dijalankan iaitu ’menconteng muka’ dengan para fasilitator juga mengambil bahagian.

Para peserta kemudiannya mengambil bahagian dalam aktiviti treasure hunt dan beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK). Kemudiannya aktiviti santai telah dijalankan iaitu ’menconteng muka’ dengan para fasilitator juga mengambil bahagian.

Sementara menunggu jamuan tengahari, para peserta telah mengemaskan kelengkapan masing-masing serta membantu membasuh peralatan memasak yang disediakan.

Selepas jamuan, diadakan majlis penutup serta penyampaian hadiah kepada kumpulan yang telah berjaya mengumpul markah yang paling tinggi.

Dalam ucapan penutup, pengerusi PEMBELA iaitu En. SukriKamis melahirkan kesyukuran kerana aktiviti ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak usahawan 1MET FAMA atas peluang yang diberikan untuk menjadi penganjur bersama bagi program ini. Program berakhir tepat pukul 1.30 tengahari dengan para peserta dihantar pulang kembali ke Rumah Anak Yatim Che Bema.

Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai sasaran serta objektifnya dan kami dari pihak PEMBELA ingin merakam ucapan terima kasih buat semua yang menaja serta memberi sokongan dalam menjayakan program ini.

Tahniah buat semua yang terlibat.

- Team PEMBELA
- Usahawan 1MET-FAMA
- Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kuala Muda (Rumah Anak Yatim Che Bema)
- Majlis Belia Daerah Kuala Muda
- Sinar Utara Agrofarm
- Nazza Trading & Services
- Daging Segar Outlet
- SUArasa
- Rakan rakan serta kenalan rapat

Sunday, November 16, 2014

JJMK: Kg Charok Beras anjuran NGO Wargakilang

JJMK: Kg Charok Beras anjuran NGO Wargakilang
Tarikh: 12 Nov 2014
Lokasi: Kg Charok Beras, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Mengikuti program anjuran NGO Wargakilang, JJMK: Kg Charok Beras, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Program berbentuk ziarah dan penyampaian sumbangan kepada 30 keluarga penoreh gerah. Antara sumbangan yang disalurkan adalah 900kg beras beserta barangan makanan lain.

Konvoi yang disertai oleh 12 buah kenderaan bergerak dari Kuala Ketil sekitar jam 9.30 malam dan tiba di destinasi sekitar jam 10.15pm. Seterusnya diadakan acara penyampaian sumbangan yang berakhir sejam kemudian.

Kami di pihak PEMBELA mengucapkan terima kasih kepada NGO Wargakilang kerana memberi peluang untuk mengikuti program ini. Tidak lupa juga buat semua yang mengirim sumbangan. Moga moga kerja kerja buat kita ini diberkati dan dilimpahi rahmat.

Tahniah buat semua yang terlibat.

 

Monday, November 10, 2014

Sesi Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Koma (Ibu Tunggal)

Sesi Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Koma (Ibu Tunggal)
Tarikh: 10 November 2014
Lokasi: Kampung Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang

Sesi ziarah dan penyampaian sumbangan kepada mangsa koma, Puan Yana (36 tahun) yang terlibat dalam kemalangan jalanraya pada 05 Oct 2014 yang lalu.

Beliau yang juga merupakan ibu tunggal mempunyai dua orang anak lelaki berusia 15 & 13 tahun. Kini beliau dijaga oleh ibu beliau yang uzur yang terpaksa menampung kos perbelanjaan yang berjumlah lebih kurang RM1000 sebulan (perubatan, susu, lampin pakai buang serta perbelanjaan lain termasuk makan minum dan persekolahan anak anak).

Pada sesi ziarah ini, pihak PEMBELA telah menyerahkan sumbangan berbentuk tunai, lampin pakai buang serta makanan harian.

Kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang menghulurkan sumbangan termasuklah pekerja Osram Opto Semiconductors Penang, pekerja Keysight Technologies Penang, Sinar Utara Agrofarm, rakan rakan pendaki dari Penjejak Gunung, Seram Trekkers Crew dan juga kenalan kenalan rapat.

Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh Puan Yana sekeluarga. Di kesempatan ini juga, marilah kita sama sama berdoa agar Puan Yana cepat sembuh dan pulih seperti sediakala. InshaALLAH.
 






Related Posts with Thumbnails