Wednesday, November 20, 2013

Program Kembara Malam PEMBELA – Edisi Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani

Tarikh: 19 November 2013
Lokasi: Sekitar Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah

Program Kembara Malam pada bulan November ini diteruskan lagi dengan sesi ziarah dan penyerahan sumbangan untuk keluarga daif sekitar kawasan Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani (berhampiran Institut Perguruan Sultan Abdul Halim - IPSAH). Kembara kali ini bermula sekitar jam 9.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam.

Pada kali ini, sebanyak 5 keluarga telah dikenalpasti dengan bantuan Mak Teh (wakil penduduk setempat). Kebanyakan mereka boleh dikategorikan sebagai golongan "miskin bandar". Rombongan kembara turut disertai oleh rakan-rakan dari PWC Sungai Petani Crew.

Penerima pertama yang dilawati ialah Pn. Karimah bt Daud. Beliau yang sedang menghadapi sakit buah pinggang kelihatan uzur dan berkerusi roda. Buat masa ini rawatan untuk buah pinggang dilakukan di Hospital Sg Petani.

Keluarga yang kedua ialah En. Yusof b. Abu Yazid. Anak-anaknya seramai 9 orang menyambut rombongan kembara malam dengan riang. Buat masa ini, beliau tidak mampu lagi untuk bekerja kerana baru menghadapi strok di sebelah kiri tubuh badan.

Pn. Sharifah bt. Ibrahim yang merupakan penerima ketiga dilawati juga sedang menghadapi strok. Ketika dilawati beliau hanya sedang berehat di atas tilam di ruang tamu rumahnya.

Pn. Norizah bt Arshad pula mengalami kemalangan. Dengan tanggungan anak seramai 10 orang (2 perempuan sedang berada di universiti dan 8 lagi masih di rumah) serta suaminya yang mengalami masalah kesihatan, maka agak sukar untuk menyara keluarga.

Keluarga terakhir yang dikunjungi ialah Pn Salina Bt Hamid. Beliau merupakan bekas pesakit barah payu dara dan kaki kirinya juga telah dipotong hingga paras lutut. Beliau kelihatan terharu dengan kunjungan serta sumbangan dari sesi kembara malam pada kali ini. Adalah diharapkan dengan sumbangan barangan keperluan harian ini akan dapat mengurangkan serba-sedikit beban kehidupan harian mereka.

Terima kasih dan tahniah buat semua yang terlibat!

Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin / SukriKamis
Team PEMBELA

Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda untuk OKU

Tarikh: 18 November 2013
Lokasi: Bengkel Daya, JKM Sungai Petani, Kedah Darulaman

PEMBELA diberi kepercayaan untuk melakukan penyerahan kerusi roda untuk kegunaan peserta Bengkel Daya, saudara Ahmad Nizam. Kami dari pihak PEMBELA amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk melakukan penyerahan ini. Terima kasih buat yang menyumbang. Moga moga usaha kita semua ini diberkati.

"Saya redha dengan ujian yang Allah berikan kepada saya. Walaupun saya sukar dan susah untuk bergerak, namun hakikatnya ada lagi yang kurang bernasib baik dan lebih susah dari saya di luar sana. Sesungguhnya kita harus berterima kasih dan bersyukurlah dengan apa yang ada" - Ahmad Nizam (penerima sumbangan kerusi roda).

Monday, November 18, 2013

Ziarah Pesakit Pasang Surut (Hernia)

Tarikh: 17 November 2013
Lokasi: Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang

Sessi ziarah ringkas dan pemberian sumbangan kepada seorang rakan yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan penyakit pasang surut.

Encik Sharil, 32 tahun yang hanya bekerja di gerai char kue teow dan bergaji harian. Ada kerja ada gaji, tiada kerja tiada gaji. Mempunyai 3 orang anak (9, 7 & 1 tahun) dan tinggal di rumah sewa yang serba agak kekurangan. Manakala isteri tidak bekerja.

Lantaran dari pembedahan ini, beliau tidak dapat bekerja dan secara tidak langsung terus kehilangan sumber pendapatan secara tiba tiba.

Moga moga dengan sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat meringankan beliau sekeluarga.

Kepada mana mana pihak yang ingin turut sama membantu, boleh menghubungi kami untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Sunday, November 17, 2013

Kembara Malam PEMBELA - Edisi Tanjung Dawai

Tarikh: 16 November 2013
Lokasi: Sekitar Tanjung Dawai, Kedah
 
Pada hari Sabtu (16hb November 2013) lepas, sekali lagi NGO PEMBELA telah mengadakan program Kembara Malam. Program ini menumpukan kepada sesi pemberian sumbangan barangan keperluan harian kepada tujuh warga daif & OKU di sekitar Tanjung Dawai, Kedah. Program yang bermula jam 9.00 malam dan berakhir sekitar jam 10.30 malam.

Rumah pertama yang dikunjungi ialah Pn. Che Yah bt. Rejab yang berusia lebih 80 tahun. Beliau uzur dan lumpuh sebelah badan.

Selepas itu kunjungan diteruskan ke rumah En. Taib b. Nan. Beliau yang telah jatuh sakit hampir 16 bulan berusia kira-kira 78 tahun. Beliau juga menderita sakit lumpuh dan tidak mampu bangun malah sukar untuk bercakap.

Pn. Maryam (ibu tunggal) yang tinggal berdua sahaja dengan anaknya (perempuan – tidak berkahwin) merupakan kediaman ketiga yang dilawati dalam program Kembara Malam ini. Beliau juga menghidap penyakit darah tinggi dan sering melakukan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Merbok. Bergantung hidup sepenuhnya kepada anak perempuan yang tinggal bersamanya.

En. Khalid b. Taha yang dilawati seterusnya masih berada dalam keadaan sihat dan cuma hanya kadang-kala menghidap sakit tua.

Pesakit paling muda yang dilawati ialah En. Suhairi b. Abidin iaitu berusia 31 tahun. Beliau telah mengalami kelumpuhan hampir 3 tahun lebih akibat kemalangan semasa bekerja.

Di rumah seterusnya, Pn. Tahirah bt. Yaacob (ibu tunggal) pula sedang berkerusi roda semasa dilawati. Beliau menderita penyakit kencing manis.

Kembara Malam berakhir dengan kunjungan ke rumah En. Tahar. Beliau yang sedang sibuk menangkap udang di belakang rumahnya kelihatan terkejut dengan kehadiran rombongan ahli PEMBELA serta warga setempat yang ingin menyumbangkan barangan keperluan harian. Beliau serta penerima yang lainya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha pihak PEMBELA, warga kampung serta penyumbang barangan.

Kami dari pihak PEMBELA ingin merakamkan setinggi tinggi ucapan terima kasih buat semua yang terlibat termasuk juga penduduk kampung setempat dan juga para penyumbang yang membantu menjayakan program kali ini. Tahniah semua!

Majlis Asyura Perdana 2013

Tarikh: 16 November 2013
Tempat: Masjid Al-Fathimah, Kg Sg Pial, Merbok, Kedah.

Program gotong royong memasak bubur asyura anjuran Masjid Al-Fathimah Kg Sg Pial. Program yang turut disertai oleh Team PEMBELA di mana sebanyak 8 kawah bubur asyura telah berjaya disediakan. 

Pada program ini juga, pihak PEMBELA telah menyerahkan tudung tudung terpakai pada warga emas sekitar. Tahniah dan syabas buat semua yang terlibat.









Related Posts with Thumbnails