Tuesday, September 17, 2013

Projek Komuniti Semeling 2013 - Baikpulih bumbung rumah daif

Tarikh: 07 September 2013
Lokasi: Kg Bukit Inas, Semeling, Kedah

Pada hari Sabtu 7hb Sept yang lepas, satu projek komuniti telah dijalankan oleh pihak NGO Pembela. Projek yang dinamakan Projek Komuniti Semeling 2013 itu bertujuan untuk membaikpulih bumbung rumah seorang warga daif yang tinggal di Kg Bukit Inas, Semeling, Kedah. Selain itu, aktiviti gotong-royong ini juga bertujuaan  menurap jalan masuk dengan batu kerikil dan membersih kawasan sekitar.

Berdasarkan tinjauan sebelum ini, latarbelakang penghuni ialah seorang warga daif bernama Puan Che Munen Abdullah (59 tahun) yang tinggal seorang diri. Beliau tiada sumber pendapatan tetap dan hanya berharap bantuan ehsan jiran-jiran terdekat. Hasil pendapatannya bergantung kepada tanaman kampung seperti kunyit serta serai dan berjumlah hanya sekitar RM10.00 seminggu.

Para sukarelawan telah berkumpul di Restoren Shima, Taman Lembah Bujang (berhadapan MRSM Merbok) seawal jam 8.00 pagi. Setelah selesai bersarapan tepat jam 8.30, mereka bertolak ke lokasi. Keadaan hujan yang berlarutan sejak 2 hari sebelum aktiviti telah menyebabkan jalan masuk ke lokasi dipenuhi air dan selut. Bagaimanapun, dengan bantuan seorang rakan, isu ini dapat diatasi apabila sebuah 'back-hoe' digunakan untuk membawa segala bahan binaan seperti kepingan zink dan kayu ke kediaman Puan Che Munen.

Cuaca yang baik pada hari tersebut telah sama membantu kelancaran aktiviti. Alhamdulillah, pada jam 5.30 petang, semua kepingan zink di bahagian utama kediaman telah berjaya digantikan. Jalan masuk juga semakin bertambah baik apabila 'back-hoe' yang digunakan telah berjaya menurap sebahagian besar jalan dengan baru kerikil. Adalah diharapkan, dengan keadaan rumah dan jalan masuk yang semakin baik, tahap kehidupan Puan Che Munen juga akan bertambah selesa.
 
Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin
Team PEMBELA


 

Ekspedisi Merdekaraya Gunung Jerai 2013 via Sri Perigi

Tarikh: 31 Ogos & 01 September 2013
Lokasi: Gunung Jerai, Kedah

Sempena dengan sambutan hari Kemerdekaan yang jatuh di dalam bulan Syawal pada tahun ini, Pertubuhan Belia Amanah PEMBELA, STC & HTU / Penjejak Gunung telah bersama-sama menganjurkan satu sesi Ekspedisi Merdekaraya Gunung Jerai 2013 via Sri Perigi. selain dari ingin melahirkan golongan belia yang aktif dan cintakan gaya hidup sihat, ekspedisi ini juga ingin mempopularkan trek Sri Perigi sebagai laluan alternatif pendakian ke puncak Gunung Jerai (selain dari Tangga Seribu di Titi Hayun & Trek Jejak Warisan)

Ekspedisi yang berlangsung dari 31hb Ogos hingga 1hb September 2013 (Sabtu & Ahad) itu telah disertai oleh 30 orang peserta. Antara aktiviti utama yang dirancang untuk ekspedisi ini ialah pendakian dan penandaan trek hiking dari Sri Perigi ke Puncak Gunung Jerai, aktiviti santai jamuan BBQ serta berkhemah di puncak Gunung Jerai.

Pendakian trek Sri Perigi telah bermula tepat jam 10.30 pagi serta diketuai oleh jurupandu tempatan Encik Shukur dan Sukri Kamis. Jarak perjalanan keseluruhan adalah 14km dan mengambil masa hampir 7 jam. Para peserta juga dibawa melawat kolam air terjun nombor 1 dan 2. Di Batu Putih, ekspedisi telah berehat untuk makan tengahri dan juga bersolat di situ. Selepas itu, para peserta mendaki terus ke puncak yang terletak berhampiran dengan Hotel Regency Gunung Jerai. Untuk sesi terakhir, para peserta mendaki turun ke arah Taman Rimba sebagai persediaan untuk mendirikan kawasan perkhemahan di situ.

Pada sebelah malamnya, diadakan aktiviti santai serta jamuan BBQ yang disediakan oleh pihak Sinar Utara Agrofarm. Antara juadah yang dihidangkan ialah ayam BBQ, lamb chop & arnab panggang. Ianya dimeriahkan lagi dengan kuih-muih raya yang telah dibawa oleh para peserta. Suasana hujan yang agak lebat pada waktu malam telah menghadkan aktiviti luaran para peserta. Namun kebanyakkannya telah mengambil peluang ini untuk berehat lebih awal untuk aktiviti keesokan harinya.

Aktiviti utama pada pagi kedua ialah sesi bergambar beramai-ramai di Taman Rimba dengan berpakaian menyambut hari raya Aidilfitri. Selepas selesai mengemaskan kelengkapan perkhemahan, para peserta mengambil peluang untuk melawat Muzium Perhutanan yang terletak hanya lebih kurang 1km dari tapak perkhemahan. Kemudiannya, pada jam 10.30 pagi, para peserta turun dengan menaiki van ke tempat letak kereta di Sri Perigi. Sejurus tiba di sana jam 11.30 pagi, semuanya bertolak ke Tanjung Dawai untuk agenda Ekspedisi Merdekaraya Gunung Jerai 2013 via Sri Perigi yang terakhir iaitu menikmati jamuan tengahari ikan bakar di sana.
 
Disediakan oleh:
Azhan Jamaludin
Team PEMBELA
 



 
Related Posts with Thumbnails